Wednesday 26 February 2020

KUASA AGONG IMBANG KEADAAN POLITIK


Sangat penting untuk semua rakyat Malaysia memahami peranan dan fungsi institusi beraja di negara kita, sama ada pada peringkat Persekutuan dan juga pada peringkat negeri.

Peranan penting Yang di-Pertuan Agong sesuai dengan peranan baginda sebagai pengimbang kepada pelaksanaan sistem demokrasi negara.

Takhta Yang di-Pertuan Agong yang seringkali dianggap segelintir masyarakat hanya sekadar simbol hari ini terbukti dalam memainkan peranan sebagai pengimbang yang bijaksana kepada kestabilan keadaan politik negara.

Kemelut politik kali ini menampilkan kesukaran tertentu terutamanya dalam menangani perkara sensitif dan persoalan perundangan yang tidak nyata secara harfiah dalam Perlembagaan.

Perkara 40(2) memberikan kuasa budi bicara kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri.

Kuasa budi bicara ini ‘diikat’ dengan syarat bahawa seseorang yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri hendaklah seorang Ahli Dewan Rakyat, dan juga seseorang yang pada hemat baginda, mungkin mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat (Perkara 43(2)(a).

Selain dua syarat di atas, Yang di-Pertuan Agong juga hendaklah memastikan bahawa calon tersebut bukan seorang yang mendapat taraf kewarganegaraan dengan cara pendaftaran atau naturalisasi (Perkara 43(7).

Kuasa Yang di-Pertuan Agong berkaitan pembubaran Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 55(2) yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog (menangguh) atau membubarkan Parlimen.

No comments:

Post a Comment