Monday, 6 April 2026

PERLU MENJAGA HUBUNGAN BAIK SESAMA MANUSIA

 
Keadaan umat Islam di seluruh dunia berada dalam keadaan hidup mereka berbeza-beza. Ada umat Islam dalam keadaan susah, tertindas, teraniaya, tertekan; bahkan ada umat Islam yang tersisir dari tanah kelahirannya sendiri tanpa ada yang melindungi selain perlindungan Allah SWT.

Hidup ini dari dahulu sampai ke akhir zaman penuh dengan tentangan dan rintangan. Justeru hanya orang yang kuat dalam bidang ekonomi, fizikal dan mental saja yang akan keluar sebagai khalifah yang berjaya.

Kuat dalam ketiga-tiga bidang ini adalah simbol kekuatan dalam bidang peradaban dan sekali gus dalam bidang agama.

Dari segi realiti, kita dapat lihat kehidupan sesetengah orang yang berbeza atau berlawanan. Ada yang sekadar membina hubungan baiknya dengan Tuhan dengan banyak beribadah kepada-Nya, tetapi tidak dengan masyarakat sekitarnya.

Rasulullah SAW pernah ditanyakan soalan mengenai seorang wanita yang banyak melakukan ibadah dengan berpuasa, bersolat tetapi wanita itu suka menyakiti tetangganya.

Nabi SAW menegaskan bahawa wanita ini tidak dapat membina hubungan baik dengan masyarakat sekitarnya, kelak di akhirat ia akan masuk neraka.

Manakala sebahagian orang pula hanya menjalinkan hubungan baiknya dengan masyarakat dengan banyak beramal sosial, tetapi melupakan jalinan hubungan baiknya dengan Allah.

Dan yang lebih teruk lagi manusia yang langsung tidak peduli dengan Allah dan juga sesama manusia. Golongan ini dilaknat oleh Allah dan dibenci oleh masyarakat.

Sebagai makhluk yang daif, makhluk yang hina di hadapan Allah SWT kita yang hanya dapat berharap dan memohon kasih sayang-Nya, semoga perjalanan hidup kita di dunia ini hingga akhirat kelak mendapat keselamatan dan kebahagiaan.

Bahkan kita pun berharap agar kiranya Allah menjauhi kita daripada azab seksa-Nya yang amat pedih.

No comments:

Post a Comment