Wednesday, 28 October 2026

TRAGEDI SERANG HENDAP DI ULU LEGONG

 
Tragedi Serang Hendap Komunis di Ulu Legong.

Di sebalik keamanan dan kejayaan Malaysia hari ini, ada kisah pengorbanan yang perlu kita kenang dan hargai apa yang wira negara telah lakukan.

Tragedi pada pagi 29 Oktober 1981 antara kisah yang perlu diketengahkan untuk dikenang generasi sekarang.

Serang hendap di Ulu Legong, Kedah merupakan siri keganasan komunis yang dasyat dan tidak perikemanusiaan.

Kejadian itu melibatkan sembilan anggota dari Kompeni Bravo, Batalion Kedua Puluh Dua Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD) yang berpengkalan di Kem Sungai Petani. 

Titik hitam peristiwa serang hendap ini berlaku pukul 9.45 pagi itu telah dirancangan lama berdasarkan penemuan diari Chin Peng ketika satu serbuan di tempat lain.

Dalam diari tersebut dicatatkan yang Chin Peng telah kehilangan dua orang kekasihnya dalam dua pertempuran berasingan dengan askar Melayu. Justeru, Chin Peng nekad membalas dendam ke atas kumpulan askar Melayu.

Segala perancangan disusun rapi, bukan setakat dua tiga hari, tapi memakan masa berbulan-bulan. Pergerakan keluar masuk askar Melayu pada ketika itu, berapa kekuatan anggota dan senjata yang digunakan dicatatkan. 

Kompeni Bravo 22 RAMD baharu ditugaskan mengawasi di Kampung Lalang dan sekitar. Namun, Chin Peng menyangkakan kumpulan inilah yang telah menyerang mereka sebelum itu.

Pada hari kejadian, sembilan anggota Kampeni Bravo bergerak dari markas menuju ke Kampung Lalang yang terletak kira-kira empat kilometer dari kem.untuk mengambil bekalan makanan,  

Ulu Legong ini dipilih sebagai tempat persembunyian pengganas komunis kerana faktor kawasan yang berbukit bukau selain faktor geografinya yang bersempedan dengan Thailand. Jadi ia memudahkan pergerakan komunis menyusup masuk keluar.

Tiba di satu jambatan, kenderaan yang dinaiki mereka dibedil dengan peluru roket pemusnah kereta kebal (bazooka) dari arah atas kawasan bukit.

Peluru bazooka tepat menghentam enjin hadapan trak Volvo Motar mengakibatkan dentuman kuat dan terus membuatkan askar di dalamnya tercampak keluar. Pemandu trak mati serta merta, manakala yang lain mengalami kecederaan.  

Anggota yang cedera segera mencari tempat perlindungan walaupun berada dalam keadaan cedera parah. 

Di kawasan itu dianggarkan 34 komunis diketuai sendiri oleh Chin Peng seolah-olah tidak sabar-sabar lagi menunggu detik untuk membalas dendam. 

Kurang 15 minit suasana yang bingit dengan berbalas tembakan bertukar menjadi sunyi sepi. Kepulan asap menerawang di udara. Tiada lagi bunyi tembakan balas dari pihak askar Melayu.

Komunis yang bersembunyi di balik bukit mulai turun menuju ke arah satu persatu mayat dan melakukan perbuatan tidak terjangkau dek akal waras manusia.

Seperti diceritakan dalam buku Serang Hendap Ulu Legong (DBP 2013);

Prebet Md Merdeka (pemandu trak), mayatnya telah dibogelkan dan diikat pada pengelap cermin trak. 

Telinganya pula dipotong dan dijadikan kalung rantai dengan menggunakan tali akar pohon letup-letup. Manakala kemaluannya dipotong dan dimasukkan ke dalam mulut seperti orang sedang menghisap cerut. Kejam!

Mayat Lans Kopral Hashim (ketua kumpulan), badannya bersarang dengan hampir 25 butir peluru. Ketika diangkat, badannya boleh dilipat dua seakan-akan tidak ada pinggang. 

Kepalanya hancur di sebelah kiri akibat tembakan yang bertubi-tubi. Otaknya berterabur di atas jalan. Kedua-dua matanya dicungkil dan dibuang hilang entah ke mana. Mayatnya juga dibogelkan lalu diletakkan terlentang di atas jalan. 

Kemaluannya juga dikerat dan dua telur kemaluan diletakkan di atas mata kiri dan kanannya. 

Mayat Pbt Jamil terperosok di dalam parit yang penuh dengan semak pokok senduduk; terlungkup dan seluarnya dilondehkan.

Mayatnya disula dengan ranting-ranting pohon senduduk. Kedua-dua belah daging punggungnya hancur dek tembakan bertubi-tubi. Darah masih menitis perlahan-lahan ke tanah ketika jenazahnya diturunkan. 

Tujuh tentera terkorban dan hanya dua orang yang selamat. 

Dua yang terselamat ialah Pbt Md Shafie Kasim. Beliau meninggal dunia pada tahun 2015 akibat kemalangan jalan raya.

Seorang lagi ialah Pbt Md Said Adam. Beliau satu-satunya saksi mata kejadian tersebut yang hidup (2026).

Susulan kes serang hendap ini nama tentera yang terkorban telah diabadikan di Muzium Tentera, Port Dickson selain nama mereka turut terpahat di Tugu Peringatan, Ulu Legong.

Anggota yang terkorban:
1. Lkpl Hashim bin Sulaiman
2. Pbt Rosli bin Mat Nayan
3. Pbt Jamil bin Mahmud
4. Pbt Jamil bin Abd Hamid
5. Pbt Md Mendeka bin Ismail
6. Pbt Mazlim bin Wasal
7. Pbt Mohd Khambali bin Mohd Sodeli

Pengorbanan mereka bukan sekadar berada dalam lipatan sejarah, malah menjadi pengajaran kepada pasukan tentera yang melakukan penambahbaikan aspek operasi, kesiapsiagaan dan keselamatan pasukan sehingga ke hari ini.

Jasa mereka tidak pernah dilupakan, semangat mereka akan terus hidup dalam setiap langkah perjuangan Tentera Darat Malaysia.

Gambar atas - Tugas Peringatan Tragedi Legong

Trak yang dinaiki anggota 22 RAMD ketika Tragedi Legong