Ubi
keledek atau dalam dialek Kelantan dipanggil ubi stelo semakin mendapat
perhatian sehingga semakin banyak yang berminat menanamnya. Ubi keledek yang
dikenali dengan nama ubi jalar di Indonesia, ada banyak varieti.
Antara varieti keledek ialah keledek 57 tainung, keledek banting, keledek jepun, keledek celembu, keledek biru johor, anggun 1, anggun 2, anggun 3 dan keledek cameron.
Walaupun banyak varieti, cara menanam keledek adalah sama. Paling penting ia boleh ditanam di dalam pasu. Penanaman pokok dalam pasu menjadi pilihan kepada mereka yang tidak mempunyai kawasan tanah atau tapak yang luas.
Cara tanam keledek dalam pasu sebenarnya tidak ada bezanya dengan ditanam di tapak tanah. Medium digunakan untuk diletakkan dalam pasu ialah tanah jenis gembur berpasir yang kaya dengan bahan organik dan juga kadar penyerapan air yang baik.
Manakala untuk penyediaan bahan tanamannya pula, ianya boleh dilakukan sama ada dengan ubi dan keratan batang. Penanaman secara terus menggunakan ubi nampak mudah. Tetapi dengan menggunakan keratan adalah lebih mudah dan murah.
Penanaman secara keratan boleh dilakukan dengan memotong batang ubi keledek dalam lingkungan panjang 20cm hingga 30cm. Kemudian, tanam keratan tersebut secara condong dan pastikan suku daripada bahagian keratan tersebut timbul pada bahagian permukaan tanah.
Seperti yang sedia maklum tanaman ini tidak perlu selalu disiram tetapi jika terlalu panas melebihi suhu yang disyorkan, lakukan penyiraman sekurang sekali sehari. Keledek memang sesuai dengan cuaca panas, tetapi memerlukan air secukupnya untuk tumbesaran dan penghasilan ubi yang maksimal.
Tempoh masa tanaman boleh dituai adalah sekitar 3 hingga 6 bulan selepas ditanam, mengikut varieti.
No comments:
Post a Comment