Gula melaka atau dalam dialek Kelantan
dikenali 'nise kerek' diperbuat daripada nira atau tuak kelapa. Selain
menggunakan nira kelapa, nise juga dihasilkan daripada nira kabung dan nira
tal. Nise yang dihasilkan dari setiap nira berbeza mempunyai keunikan rasa
masing-masing.
Nise kerek ini biasanya digunakan bagi
menggantikan gula dalam sesetengah masakan atau pembuatan kuih muih dan
memiliki khasiatnya yang tersendiri.
Proses membuat nise kerek bermula dengan
memanaskan atau memasak nira kelapa di dalam kawah menggunakan kayu api selama
lebih empat jam sebelum ia menjadi lebih pekat. Penggunaan kayu api dianggap
istimewa kerana menghasilkan aroma nise yang sedap.
Apabila air tuak semakin pekat dan likat,
maka ia perlu dikacau bagi mengelak ia menjadi hangit. Tempoh mengacau
seterusnya mengambil masa beberapa jam lagi. Apabila semakin likat kekerapan
dan kelajuan mengacau perlu ditingkatkan. Tempoh memasak air tuak sehingga
menjadi nise mengambil masa kira-kira tujuh hingga 10 jam.
Ada teknik mengacau yang perlu dilakukan
menggunakan pengacau dibuat daripada kayu. Semasa mengacau itu, ia perlu
di'lesek' di permukaan kawah untuk menjadikan ia sebati. Proses mengacau ini
perlu dilakukan dengan cepat dan ada seni yang menyebabkan ada bunyi seperti
pukulan gendang yang agak kuat.
Selepas nira kelapa bertukar menjadi pekat
dan likat, ia perlu diangkat dengan cepat serta diletak di dalam acuan yang
dibuat daripada daun mengkuang yang berbentuk bulat dan seragam untuk
memudahkan urusan menjual nanti.
Daun mengkuang yang berbentuk bulat itu
dipanggil kerek. Tebal atau ketinggian kerek itu lebih kurang 1cm. Garis pusat
pula lebih kurang 4 hingga 5 cm.Selain menggunakan daun mengkuang, ada jug
kerek diperbuat daripada daun tal.
Kerek itu diletakkan di atas tikar
mengkuang sebelum dituangkan nise. Proses menuangkan ke dalam acuan perlu
dilakukan dengan cepat dan teknik tersendiri supaya nise kerek yang dihasilkan
tidak rosak atau pecah.
Nise kerek akan di'cabut' dari tikar
mengkuang apabila sudah benar-benar kering untuk dibungkus atau disimpan.
Nise kerek boleh disimpan dalam tempoh masa
yang lama sehingga satu tahun jika proses membuatnya dilakukan dengan baik,
terutama ketika mengacau dan lesek yang menjadikan ia betul-betul likat.
Permintaan terhadap nise kerek masih tinggi
terutama di kalangan pembuat kuih tradisional yang masih menggunakan nise untuk
mengekalkan keaslian cita rasa. Permintaan sentiasa ada terhadap nise kerek
menyebabkan pengusaha perlu membuatnya setiap hari agar bekalannya tidak putus.
Pengusaha nise kerek beropersi di kawasan
mudah mendapat bekalan air nira kelapa. Jadi, tertumpu di kawasan tepi pantai
yang terdapat banyak pokok kelapa.
Nise kerek yang asli tanpa dicampur dengan
gula mempunyai keunikan rasa yang tersediri. Harga gula melaka dijual pada
harga RM15 untuk sekilogram.
No comments:
Post a Comment