Friday 8 March 2024

PINTASAN RAUB LINGKARAN TENGAH UTAMA

 
Bermula tengah malam Jumaat 8 Mac 2024, sebahagian lagi Seksyen 5A Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pintasan Raub dibuka kepada semua pengguna jalan raya yang menghala ke Pantai Timur, tanpa perlu lagi melalui bandar Bentong dan bandar Raub.
 
Pembukaan jajaran tersebut dapat memberi manfaat apabila ia dapat menyingkatkan masa perjalanan dari Leburaya Pantai Timur ke Kuala Lipis tanpa perlu melalui bandar Bentong dan Raub dengan jarak perjalanan sepanjang 45.3 kilometer yang mengambil masa hanya 30 minit.berbanding 1 jam 30 minit sebelum Raub Bypass dibuka.
 
Keseluruhan panjang Seksyen 5A Pintasan Raub ini melibatkan laluan 9.6 kilometer dan sehingga hari ini, 7 kilometer pembinaan seksyen ini telah siap dibina dan sedia digunakan. Baki 2.6 kilomter bagi seksyen ini dijangka siap pada Jun 2024.
 
Pembinaan LTU atau dahulunya dikenali sebagai Central Spine Road (CSR) yang menghubungkan Kuala Krai, Kelantan sehingga persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) melibatkan laluan sepanjang 299.4 kilometer serta kos sebanyak RM7.7 bilion.
 
LTU ini dilaksanakan secara berperingkat melibatkan lima pakej yang pelaksanaan dilakukan mengikut keutamaan pembinaan berdasarkan kawasan yang terdedah kepada kemalangan dan yang menyebabkan kesesakan lalu lintas.
 
LTU merupakan antara projek Kementerian Kerja Raya (KKR) yang menumpukan pembinaan jalan baharu dan naik taraf jalan sedia ada kepada 4 lorong 2 hala. Bagi jajaran LTU di Pahang, ia melibatkan 4 pakej utama sepanjang 169.10 kilometer merangkumi 16 seksyen.
 
Sehingga kini, 9 seksyen sepanjang 106.85 kilometer telah berjaya disiapkan manakala baki 7 seksyen sepanjang 62.25 kilomter sedang dalam pembinaan.
 
LTU merupakan salah satu komponen di bawah Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Ia telah dipertanggungjawabkan kepada pasukan projek JKR untuk reka bentuk, pelaksanaan pembinaan dan pemantauan sepenuhnya.
 
Pembinaan melibatkan 6 pakej yang dibuat secara berperingkat-peringkat. Jadi pembukaan untuk kegunaan awam juga dibuat secara berperingkat-peringkat sebaik ia siap.
 
Secara keseluruhan, Projek CSR dibahagikan kepada enam (6) pakej utama iaitu:
Pakej 1: Kuala Krai ke Jambatan Sg. Lakit, Kelantan (47km)
Pakej 2: Jambatan Sg. Lakit ke Gua Musang, Kelantan (59km)
Pakej 3: Gua Musang ke Kg. Relong, Kuala Lipis, Pahang (93.8km)
Pakej 4: Kg. Relong, Kuala Lipis ke Raub, Pahang (50km)
Pakej 5: Raub ke Bentong, Pahang (54km)
Pakej 6: Bentong ke Simpang Pelangai, Pahang (47.5km )

Baca juga:

Pintasan Bentong

No comments:

Post a Comment