Takfir
membawa maksud saling kafir- mengkafirkan kepada antara satu sama lain. Untuk
mengelak gejala takfir, ahli Sunnah Wal Jamaah berpegang kepada asas iaitu
orang yang melakukan dosa besar tidak terkeluar daripada Islam selagi mana
tidak terbatal perkara-perkara berkaitan dengan Rukun Iman, syahadah dan
sebagainya.
Sebab
itu ahli Sunnah Wal Jamaah mengatakan bahawa orang yang melakukan dosa besar
ini adalah mukmin yang melakukan maksiat. Dan dia masih beragama Islam dan
beriman. Ini pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan juga pegangan 99 peratus umat
Islam daripada dulu hingga sekarang.
Budaya
takfir (kafir mengkafir) adalah
sesuatu yang membawa akibat yang amat buruk terhadap kesatuan umat Islam. Ianya
menimbulkan perpecahan, fitnah dan musibah yang dahsyat sehingga boleh
terjadinya pertumpahan darah antara sesama muslim.
Di
samping itu di sisi syariat
Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan. Isterinya tidak
dihalalkan lagi bagi dirinya (yang telah kafir), diharamkan untuk isterinya
berada di sampingnya dan anak-anaknya berada di bawah penjagaannya.
Bagi
yang telah dituduh kafir, maka seharusnya dia dibawa ke muka pengadilan dan
dijatuhkan hukum murtad ke atasnya setelah diajukan hujjah dan bukti keterangan
akan kekafirannya.
Bagi
mereka yang telah jatuh kafir, apabila mereka meninggal dunia maka tidak
berlaku lagi hukum-hukum yang diwajibkan ke atas seorang muslim seperti
dimandikan jenazahnya, disembahyangkan jenazahnya, mayatnya tidak boleh
dikuburkan di kawasan perkuburan Islam dan hartanya tidat dapat diwarisi oleh
ahli keluarganya.
Sesiapa
yang telah kafir maka dia layak untuk mendapat laknat Allah SWT dan kekal
selama-lamanya di dalam neraka jahannam.
Memandangkan
betapa beratnya implikasi mengkafirkan seorang muslim yang lain, Islam melarang
keras budaya takfir.
Firman Allah SWT: "Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh
dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang
dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari
kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,
(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; Dan
janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah
pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang
buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya
menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang)
sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada
perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim." (Surah al-Hujrat, ayat 11)
Apakah
ada kata-kata cemuhan dan ejekan yang lebih buruk selain dari menggelarkan
seseorang itu dengan panggilan kafir? Maka amalan pengkafiran bukan sahaja
dilarang oleh syariat tapi
ianya juga adalah satu tindakan yang amat zalim.
Sesungguhnya
semua umat Islam itu bersaudara dan tidak selayaknya bagi kita terjebak dalam
perbuatan kafir-mengkafirkan terhadap saudara kita yang lain.
Ini
sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Seorang muslim adalah saudara bagi Musim yang
lain, tidak boleh dia menzaliminya dan menjerumuskannya ke dalam kebinasaan." (Hadis riwayat Bukhari)
Kezaliman
yang paling melampau dan kebinasaan yang paling meranapkan adalah tatkala seorang
Musim mengkafirkan saudaranya yang lain. Demi mengawal tindak tanduk seorang
muslim dari bermudah-mudahan dalam mengkafirkan saudaranya yang lain,
Rasulullah
SAW telah bersabda: "Tidak boleh seseorang menuduh orang lain dengan kefasikan dan tidak pula
dia menuduhnya dengan kekafiran, melainkan hal ini akan kembali kepadanya jika
orang yang tertuduh tidak demikian. (Hadis riwayat Bukhari)
Sabda Nabi Muhammad SAW
yang bermaksud: "Apabila seseorang mengatakan kepada saudaranya, “Wahai
Kafir!”, maka hal ini akan kembali kepada salah seorang daripada kedua-duanya. (Hadis riwayat Bukhari)
Dengan
ini dapat kita fahami bahawa menuduh seorang muslim yang lain sebagai kafir
mendatangkan risiko yang amat merbahaya iaitu boleh menyebabkan si penuduh
jatuh kafir apabila yang tertuduh bebas daripada tuduhan tersebut. Oleh itu
ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah
amat berwaspada serta tidak terburu-buru dalam isu pengkafiran.
Imam
al-Ghazali telah berkata dalam kitabnya al-Iqtishad
fi al-Itiqad: "Sesuatu yang
patut kita berhati-hati adalah masalah pengkafiran, selagi mana ada jalan untuk
berhati-hati. Ini kerana menghalalkan darah dan harta orang yang sembahyang
menghadap kiblat dan yang mengikrarkan kalimat “Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad itu
pesuruh Allah” adalah
suatu kesalahan dan kesalahan membiarkan seribu orang kafir hidup adalah lebih
ringan daripada kesalahan kerana menumpahkan darah seorang muslim.
Mengkafirkan seorang muslim yang lain diumpamakan dengan
membunuhnya. Ini sebagaimana dikatakan oleh al-Alla bin Ziyad, seorang tabiin: “Tidak ada bezanya antara kamu mengkafirkan seorang muslim dengan
membunuhnya.
Oleh
itu ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah
sentiasa berhati-hati dalam menjatuhkan hukuman kafir terhadap muslim yang
lain. Persyaratan yang amat ketat telah digariskan sebagai langkah untuk
mengelakkan amalan pengkafiran berlaku secara berleluasa tanpa kawalan.
Berkata
Imam Abu Hanifah dalam kitabnya Fiqh
al-Akbar: "Kita tidak boleh
mengkafirkan seorang muslim dengan setiap dosa, meskipun dosa besar. Kecuali
ada unsur menganggap halal maksiat itu. Kita juga tidak menghilangkan akar iman
darinya, dia masih disebut orang beriman secara hakiki atau seorang mukmin yang
fasik (tetapi) tidak kafir.
Menurut
Imam Abu Jaafar al-Thahawi: "Kita
tidak mengkafirkan seorangpun ahlul
kiblat kerana dosa-dosa yang dilakukan, selama dia tidak menghalalkan
perbuatan dosa tersebut.”
Syaikh
Abdul Aziz bin Baaz melanjutkan: "Maksud
beliau (yakni Imam Abu Jaafar al-Thahawi), sesungguhnya Ahlus Sunnnah Wal Jamaah tidak mengkafirkan seorang Muslim yang
bertauhid, beriman kepada Allah dan hari akhir. Mereka tidak dikafirkan kerana
perbuatan yang mereka lakukan, iaitu dosa seperti zina, minum khamar (arak),
riba’, derhaka kepada orang tua dan sejenisnya, selama pembuatnya tidak
menganggap halal perbuatannya.
Namun apabila pembuatnya menganggap halal
perbuatannya, maka mereka termasuk kafir kerana statusnya telah
mendustakan Allah dan Rasul-Nya serta keluar dari agama.
Apabila mereka tidak
menganggap halal perbuatan dosanya, maka mereka tidak dikafirkan menurut
fahaman Ahlus Sunnah wal Jama’ah.
Mereka dianggap seorang mukmin yang lemah imannya."
Janganlah
mudah mengkafirkan orang lain disebabkan kita tidak sealiran pendapat dan
kefahaman terhadap sesuatu perkara. Adalah ditakuti nanti apa yang kita pegang
itulah sebenarnya salah dan pihak yang dikatakan salah itu adalah benar.
Perbanyakkan amalan muhasabah dari sebelum menghukum pihak lain bersalah.
No comments:
Post a Comment