Definisi kafir dan jenis-jenisnya. Kafir menurut bahasa bermakna
menutupi. Oleh itu seorang yang terkeluar dari agama Allah ini digelar kafir
kerana dia telah menutupi kebenaran atau kerana kekafirannya itu, dia menutupi
apa yang sepatutnya dia imani.
Kafir
menurut syariat terbahagi kepada
dua iaitu kafir akbar (besar)
dan kafir asghar (kecil).
Pertama: Kafir akbar. Bentuk kekafiran yang
menyebabkan pembuatnya kekal dalam neraka selama-lamanya. Kafir akbar terbahagi kepada 5 jenis:
a)
Kafir Takzib
(pendustaan) - Kekafiran jenis ini berbentuk mendustakan ajaran yang dibawa
oleh para Rasul. Mereka mengingkari ajaran para Rasul dengan lidah dan hati
mereka.
Firman
Allah SWT: "Dan (ingatlah) hari Kami himpunkan dari tiap-tiap umat sekumpulan besar
orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu mereka dijaga
serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. Sehingga apabila mereka
datang (ke tempat pengadilan), Allah berfirman: "Adakah kamu mendustakan ayat-ayat
keterangan-Ku dengan tidak lebih dahulu kamu mengetahuinya secara meliputi?
Atau apakah yang kamu telah lakukan?” (Surah an-Naml, ayat 83-84)
b)
Kafir iba
wal istikbar (keengganan dan kesombongan) - Ada sesetengah manusia yang
sebenarnya hati mereka mengakui kebenaran ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW, tetapi enggan untuk
patuh kepadanya kerana kesombongan. Kekafiran ini adalah sama seperti kekafiran
iblis. Iblis tidak menolak kebenaran Allah SWT sebagai Rabb yang berhak disembah dan dipatuhi perintah-Nya.
Namun penentangan iblis adalah disebabkan kesombongannya. Sikap iblis ini
adalah sebagaimana yang telah dihuraikan dalam al-Quran.
Firman
Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada
malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam." Lalu mereka
sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur dan
menjadilah ia dari golongan yang kafir." (Surah al-Baqarah, ayat 34)
c) Kafir Iradh - ertinya berpaling dengan pendengaran dan
hatinya dari ajaran para Rasul, tidak membenarkan dan tidak pula
mendustakannya, tidak mencintainya dan tidak pula memusuhinya serta sama sekali
tidak mahu memperhatikan dan mendengar kepadanya.
Perilaku
ini adalah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud: "Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran
yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu
dan memahami kandungannya. Ia membawa berita yang mengembirakan (bagi
orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar);
dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan
memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak
mematuhinya." (Surah al-Fusilat, ayat 3-4)
d) Kafir Syak
(keraguan) – Ini adalah golongan yang senantiasa di dalam keraguan akan
kebenaran ajaran para Rasul.
e) Kafir Nifaq
– Iaitu menampakkan keimanan dengan lisan dan perbuatan namun hatinya kafir
(orang munafiq). Ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT: "Dan di antara
manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari
akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman." (Surah al-Baqarah, ayat 8)
Kedua: Kafir Asghar. Apabila seseorang itu tidak membuat sesuatu
perintah agama, akan tetapi dia tetap menyakini akan kewajipan perintah
tersebut, dia tidak dianggap kafir. Contohnya adalah orang yang menyakini akan
kewajipan membayar zakat harta tahunan, akan tetapi kerana leka mengejar
kehidupan duniawi dia tidak membayar zakar tersebut. Maka orang ini tidak
dihukum kafir.
Demikian
juga, apabila seseorang itu tidak meninggalkan sesuatu larangan agama, akan
tetapi dia tetap menyakini akan keharaman perkara tersebut, dia tidak dianggap
kafir. Contohnya adalah orang yang menyakini keharaman hukum minum arak, akan
tetapi oleh kerana keterbiasaannya minum sekian lama, dia mendapati sukar untuk
menukar tabiat tersebut melainkan bertahap-tahap. Maka orang ini tidak
dihukum kafir.
Inilah
yang dimaksudkan dengan kafir asghar.
Kafir ini tidak mengeluarkan pembuatnya dari agama (masih termasuk dalam
golongan yang beriman) dan tidak kekal dalam neraka.
Berkata
Imam Abu Hanifah dalam kitabnya Fiqh
al-Akbar: "Kita tidak boleh
mengkafirkan seorang muslim dengan setiap dosa, meskipun dosa besar. Kecuali
ada unsur menganggap halal maksiat itu. Kita juga tidak menghilangkan akar iman
darinya, dia masih disebut orang beriman secara hakiki atau seorang mukmin yang
fasik (tetapi) tidak kafir.
Menurut
Imam Abu Jaafar al-Thahawi: "Kita
tidak mengkafirkan seorangpun ahlul
kiblat kerana dosa-dosa yang dilakukan, selama dia tidak menghalalkan
perbuatan dosa tersebut.”
Syaikh
Abdul Aziz bin Baaz melanjutkan: "Maksud
beliau (yakni Imam Abu Jaafar al-Thahawi), sesungguhnya Ahlus Sunnnah Wal Jamaah tidak mengkafirkan seorang Muslim yang
bertauhid, beriman kepada Allah dan hari akhir. Mereka tidak dikafirkan kerana
perbuatan yang mereka lakukan, iaitu dosa seperti zina, minum khamar (arak),
riba’, derhaka kepada orang tua dan sejenisnya, selama pembuatnya tidak
menganggap halal perbuatannya.
Namun apabila pembuatnya menganggap halal
perbuatannya, maka mereka termasuk kafir kerana statusnya telah
mendustakan Allah dan Rasul-Nya serta keluar dari agama. Apabila mereka tidak
menganggap halal perbuatan dosanya, maka mereka tidak dikafirkan menurut
fahaman Ahlus Sunnah wal Jama’ah.
Mereka dianggap seorang mukmin yang lemah imannya."
Berkata
Imam Ibnu Abil Izzi Abdis Salaam dalam kitabnya Syarhul Aqidah ath-Thahawiyah: "Di sini wajib untuk kita berfikir (secara cemerlang) bahawa berhukum
dengan selain yang diturunkan Allah kadang-kadang boleh menjadi kafir yang mengeluarkan pembuatnya
dari Islam (kafir akbar) dan
kadang-kadang boleh menjadi maksiat besar atau kecil atau boleh jadi kafir majazi atau kafir asghar (kecil), yang demikian
sesuai dengan keadaan hakim/perlaksanaan hukum itu.
Apabila meyakini bahawa berhukum dengan selain yang
diturunkan Allah adalah tidak wajib dan bahawa dia diberi kebebasan (untuk
berhukum dengannya atau tidak) atau dia menghina hukum Allah bersamaan dengan
keyakinannya bahawa ia adalah hukum Allah, maka ini adalah kafir akbar.
Apabila dia meyakini wajib berhukum dengan apa yang
diturunkan Allah dan dia mengetahuinya tapi dia berpaling darinya, bersamaan
dengan pengakuannya bahawa dia berhak mendapat hukuman (atas perbuatannya
berpaling dari hukum Allah), maka orang ini telah berbuat maksiat dan ini
dinamakan dengan kafir majazi
atau kafir asghar.
Gambar sekadar hiasan.
No comments:
Post a Comment