Beberapa
syarat pengkafiran. Para ulama Ahlus
Sunnah Wal Jamaah amat berwaspada dalam menghukum kafir terhadap
seseorang individu muslim. Mereka telah menggariskan beberapa syarat yang perlu
diperhatikan terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukum kafir. Syarat-syarat
tersebut adalah:
Pertama: Baligh dan berakal. Orang yang belum baligh (kanak-kanak) dan orang yang
tidak sempurna akalnya tidak dijatuhkan hukuman. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW
yang bermaksud: "Diangkat pena (tidak dicatit kesalahan) dari tiga orang, anak kecil
hingga baligh, orang tidur hingga terbangun dan orang gila hingga sedar." (Hadis riwayat Abu Daud)
Ibnu
Qudamah dalam kitabnya al-Mughni
berkata: "Hukum murtad tidak
berlaku bagi orang yang tidak berakal seperti anak kecil, orang gila,
atau orang yang hilang kesedaran akibat pengsan, tidur, sakit, dan minum ubat
yang boleh diminum.
Kedua: Perbuatan kafir dilakukan dengan sengaja. Ucapan atau perbuatan
yang membawa kepada kekafiran hendaklah dilakukan dengan kerelaan hati atau
kehendak sendiri. Ia bukan satu perbuatan yang terpaksa, tak sengaja, terlanjur
atau di luar kawalan seperti disebabkan oleh kegembiraan atau kesedihan yang
amat sangat.
Allah
SWT berfirman: "Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya,
tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati
kamu untuk melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani." (Surah an-Ahzab, ayat 5)
Firman
Allah SWT: "Sesiapa yang kafir kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya
kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kafir)
sedang hatinya tenang tenteram dengan iman." (Surah an-Nahl, ayat 106)
Sabda Nabi SAW: "Allah sangat gembira tatkala hamba-Nya bertaubat, melebihi kegembiraan di antara kalian yang kehilangan kenderaannya di padang pasir yang membawa makanan dan minumannya. Maka apabila dia telah berputus asa darinya (mencari kenderaanya tunggangannya itu) lalu dia mendatangi sebuah pohon untuk berteduh, dalam keadaan putus asa tiba-tiba kenderaan itu berdiri di sisinya. Maka langsung dia pegang talinya dengan rasa gembira lalu berkata : “Ya Allah, Engkau hambaku dan aku adalah tuhan Mu.” Dia salah dalam berkata kerana kegembiraan." (Hadis riwayat Muslim)
Sabda Nabi SAW: "Allah sangat gembira tatkala hamba-Nya bertaubat, melebihi kegembiraan di antara kalian yang kehilangan kenderaannya di padang pasir yang membawa makanan dan minumannya. Maka apabila dia telah berputus asa darinya (mencari kenderaanya tunggangannya itu) lalu dia mendatangi sebuah pohon untuk berteduh, dalam keadaan putus asa tiba-tiba kenderaan itu berdiri di sisinya. Maka langsung dia pegang talinya dengan rasa gembira lalu berkata : “Ya Allah, Engkau hambaku dan aku adalah tuhan Mu.” Dia salah dalam berkata kerana kegembiraan." (Hadis riwayat Muslim)
Ketiga: Ditegakkan hujah ke atasnya. Tidak boleh menghukum kafir ke atas seseorang
selagi mana belum ditegakkan hujah ke atasnya bahawa perbuatannnya boleh
mengakibatkan kekafiran. Lebih dari itu, hujah yang ditegakkan hendaklah dalam
bentuk yang jelas dan padu, lengkap dengan dalil-dalilnya, sehingga dia dapat
memahaminya dengan baik.
Berkata
Ibnu Taymiyah dalam Majmu al-Fatawa:
"Ucapan (yang
mengakibatkan) kafir mungkin
saja datang dari orang yang belum sampai kepadanya nas (hujah dan dalil) untuk
mengenali kebenaran. Atau boleh jadi telah sampai (nas tersebut) tetapi hujah
tersebut dipandang tidak benar atau belum mungkin baginya untuk memahaminya
atau ada syubhat dalam proses
memahami kebenaran. Maka dalam kondisi seperti ini Allah memaafkan. Inilah
manhaj para sahabat dan para ulama sunnah.
Ibnu
Taymiyah dalam Majmu al-Fatawa: "Sesiapa
yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya secara mutlak dan tidak tahu kebenaran
secara rinci, tidak boleh dihukum kafir sehingga telah ditegakkan hujah bahawa
tindakannya tersebut kafir.
Sebab banyak orang terkadang salah dalam memahami al-Quran atau salah tafsir,
maka kesalahan dan lupa diangkat dari umat ini dan penghukuman kafir hanya
terjadi setelah ada penjelasan.
Allah
SWT berfirman: "Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan
seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)." (Surah al-Isra, ayat 15)
Firman Allah SWT
bermaksud: "Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa
khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada
orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia
sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak)
terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah an-Nisa, ayat 165)
Abdullah
bin Auf pernah menceritakan: "Tatkala Muadz datang dari Syam, beliau terus sujud
kepada Nabi. Maka Nabi bertanya: “Apa yang kamu lakukan wahai Muadz?” Dia
berkata: “(Apabila) saya sampai ke Syam, saya dapati mereka bersujud kepada
para rahib dan pendeta mereka, (maka) saya suka bila seperti itu saya dapat
lakukan untukmu.”
Rasulullah SAW menjawab:
“Janganlah kamu lakukan sedemikian, sebab seandainya aku membenarkan orang
sujud kepada selain Allah, nescaya aku akan suruh wanita sujud kepada
suaminya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Dalam
hadis di atas, tindakan Muadz yang sujud kepada Nabi SAW adalah satu tindakan
yang jelas salah. Akan tetapi baginda tidak menjatuhkan hukum kepada Muadz,
sebaliknya menerangkan kepada beliau, yakni menegakkan hujah, bahawa tindakan
tersebut tidak dibolehkan.
Syarat
yang ketiga ini adalah penting, khasnya orang Islam minoriti yang tinggal di
sebuah negara bukan Islam. Sukar bagi mereka mempelajari ilmu-ilmu Islam kerana
berjauhan dari ulama, sukar untuk mendapatkan sumber ilmiah tentang Islam dan
masyarakat Islam di sekelilingya juga terdiri dari mereka yang kurang
pengetahuannya dalam hal-hal agama.
Maka orang Islam minoriti ini tidak
dihukumkan kafir seandainya melakukan perbuatan yang pada asalnya boleh membawa
kepada kekafiran.
Tidak
ketinggalan ialah orang Islam yang duduk di dalam negara yang majoriti
penduduknya adalah orang Islam. Akan tetapi mereka tetap terhindar daripada
ilmu-ilmu agama yang sebenar disebabkan beberapa faktor penghalang seperti para
ulama yang tidak jujur mahupun memiliki ilmu yang sahih. Mereka ini juga tidak
dihukum kafir seandainya melakukan perbuatan yang pada asalnya boleh membawa
kepada kekafiran.
Ini
kerana Allah SWT telah
berfirman: "Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan
dengarlah (akan pengajaran-pengajaran-Nya) serta taatlah (akan
perintah-perintah-Nya)." (Surah at-Taghaabun, ayat 16)
Firman Allah SWT
bermaksud: "Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami tidak
memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya
olehnya, - merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya." (Surah al-Araaf, ayat 42)
Berdasarkan
ayat-ayat di atas, Allah SWT tidak membebani seseorang melainkan yang terdaya
olehnya. Oleh itu seandainya seseorang itu telah berusaha sedaya upaya untuk
mencari kebenaran dalam Islam namun masih terdapat kekurangan atau kesilapan
tanpa disengajakan, sehingga dia melakukan perbuatan yang kafir, Allah SWT tidak akan
menghukumnya, malah mengampuni kesalahannya.
Keempat: Perbuatan diukur dari segi zahirnya. Setiap orang Islam diadili berdasarkan apa
yang terlihat pada zahir dirinya. Antara kaedah yang penting di sini adalah: “Sesungguhnya
hukum-hukum itu dilihat dari zahirnya dan Allahlah yang akan menghukumi
batinnya.”
Ini
sebagaimana firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu
pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu
menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu
(terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai
(dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): "Engkau bukan
orang yang beriman" (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat
harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal)." (Surah an-Nisa, ayat 94)
Senada
dengan ayat di atas adalah hadis berikut dari Usamah bin Zaid radhiallahu: Rasulullah SAW pernah menghantar kami pada
satu peperangan, pada pagi hari kami menyerbu al-Huraqaat (nama sebuah kabilah)
dari kabilah Juhainah. Maka aku bertemu dengan seorang lelaki lalu dia berkata:
“Laa ilaha illallah” kemudian aku menusuknya (membunuhnya).
Akan tetapi aku merasa
ada sesuatu dalam hatiku dari kejadian itu, lalu aku menceritakannya kepada Rasuliullah
SAW. Maka baginda berkata: “Apakah dia
telah mengatakan Laa ilaha illallah kemudian kamu membunuhnya?” Aku menjawab:
“Ya wahai Rasulullah, sesungguhnya dia mengatakan hal itu hanya kerana takut
kepada pedangku.
Baginda bertanya
(menandakan kesalahan tindakan Usamah): “Tidakkah kamu membelah dadanya
sehingga kamu mengetahui apakah benar-benar dia mengatakannya (dengan jujur)
atau tidak?” (Hadis riwayat Muslim)
Berdasarkan
ayat dan hadis di atas, maka sewajarnya bagi kita tidak bermudah-mudah dalam
mengkafirkan orang lain selagi mana zahirnya masih menunjukkan bahwa dia
seorang muslim. Sebagai contoh, tidak sewajarnya kita mengkafirkan pemerintah
yang tidak melaksanakan hukum hudud atau bertindak zalim selagi mana pada
dirinya terdapat ciri-ciri orang Islam, khasnya ciri mendirikan sembahyang.
Sabda
Nabi SAW: "Akan ada sepeninggalku nanti pemimpin (yang) kalian mengenalnya dan
mengingkari (kezalimannya), maka barangsiapa mengingkarinya (bererti) dia
berlepas diri dan barangsiapa membencinya (bererti) dia selamat. Akan tetapi
barangsiapa yang meredhainya (bererti) mengikutinya. Para sahabat bertanya:
“Apakah tidak kita perangi mereka (pemimpin tersebut)?” Baginda menjawab:
“Jangan, selagi mana mereka masih sembahyang.” (Hadis riwayat Muslim)
Kelima: Kekafiran memiliki cabang-cabangnya. Sebagaimana iman memiliki cabang-cabangnya,
kekafiran juga memiliki cabang-cabangnya. Di antara cabang-cabang kekafiran ada
yang boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari Islam dan ada yang tidak.
Contohnya mengatakan Nabi Isa ‘alaihi
salam adalah anak tuhan atau tuhan itu bertiga (Trinity) jelas mengeluarkan pelakunya dari agama Islam.
Manakala
peminum arak atau penzina hanya dihukum sebagai seorang yang fasiq (pelaku dosa besar), namun
tidak mengeluarkannya dari Islam selagi mana dia tidak menghalalkan
perbuatannya itu.
Oleh
itu seseorang yang terdapat dalam dirinya beberapa perbuatan dari cabang-cabang
kekafiran, dia tidak boleh dihukum kafir secara mutlak dan tidak pula boleh
dinamakan mukmin secara mutlak walaupun dirinya beriman kepada Allah ’Azza wa Jalla. Yang benar dia masih
seorang muslim.
Ini
sebagaimana Firman Allah SWT:
"Orang-orang
Araab berkata: "Kami telah beriman.” Katakanlah (wahai Muhammad):
"Kamu belum beriman, akan tetapi berkatalah, ‘kami telah Islam’ kerana
iman masih belum memasuki hati kamu.” (Surah al-Hujrat, ayat 14)
Ibnu
Taymiyyah berkata: "Asal kesesatan
Mutazilah, Khawarij dan selain mereka adalah
kerana mereka menyelisihi dasar ini, mereka menjadikan iman sebagai sesuatu yang
satu, bila hilang sebahagiannya maka musnahlah seluruhnya. Oleh kerana itu
mereka menghukumi pelaku dosa besar sebagai tidak memiliki iman sama sekali.
Mereka tidak mengatakan ada sebahagian yang hilang dan sebahagian lain yang
masih tersisa, sebagaimana sabda Nabi shallallahu
'alaihi wasallam: “Akan keluar dari Neraka barangsiapa yang hatinya
ada sedikit keimanan.” Dengan
demikian maka iman tidak hilang dengan hilangnya sebahagian amal.
Kekafiran
itu sendiri terbahagi kepada dua kategori dan sebelum seseorang itu boleh
dijatuhkan hukum kafir, terdapat beberapa syarat yang perlu diperhatikan
terlebih dahulu.
Hendaklah
kita menyedari bahawa mengkafirkan muslim yang lain merupakan satu isu yang
amat serius, sebagaimana jelas Imam Ibnu Abil Izzi Abdis Salam al-Hanafi
dalam Syarhul Aqidah ath-Thahawiyah:
"Ketahuilah. Semoga Allah merahmati kamu
bahawa masalah pengkafiran merupakan masalah yang sangat besar fitnah dan
musibahnya, banyak perpecahan yang terjadi di dalamnya, berselisihnya hawa
nafsu dan pendapat tentangnya dan telah terjadi pertentangan antara
alasan-alasan mereka.
"Sesungguhnya sebesar-besar bentuk kejahatan adalah
menuduh individu tertentu bahawa Allah tidak akan mengampuninya dan tidak akan
merahmatinya, bahkan Allah akan mengekalkannya dalam neraka (kerana yang
sedemikian adalah) hukum bagi orang kafir setelah mati."
Kesimpulannya, sekiranya dalam diri
seseorang itu terdapat beberapa ciri kekafiran, sikap kita bukanlah
mengkafirkannya tetapi berusaha mencari jalan agar dia menghindari ciri-ciri
kekafiran tersebut. Berilah nasihat, tegakkan hujah dan bukalah ruang untuk dia
berfikir dan berusaha mengubah diri sekalipun hanya secara bertahap-tahap.
Firman
Allah SWT: "Serulah ke jalan
Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran
yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara
yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan
orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan
orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (Surah an-Nahl, ayat 125)
No comments:
Post a Comment