Ketika dalam keadaan senang, kita
lupa nikmat dirasai selama ini. Apabila ditimpa musibah barulah tahu betapa
bererti dan berharga apa dimiliki. Begitu juga, ada individu mula lupa mengenai
nikmat apabila yang diperolehi melebihi keperluan dan kemewahan.
Sesungguhnya, Allah memberikan
kenikmatan hidup yang tidak terhingga kepada manusia dan seluruh makhluk di
alam ini. Jika Allah menarik balik cuma sedetik, maka musnahlah seluruh alam
ini. Justeru, nikmat yang Allah kurniakan tidak mampu hendak dihitung satu
persatu biarpun manusia berusaha menghitungnya.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan
jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan kepada kamu), tidaklah kamu
akan dapat menghitungnya satu persatu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi
Maha Pengasih.” (Surah an-Nahl, ayat 18).
Insaflah bahawa semua yang dinikmati
ini hanya satu pinjaman sementara yang boleh ditarik bila-bila masa sahaja.
Kita perlu berpegang kepada hakikat yang segala kesihatan yang baik, kekayaan
yang melimpah ruah, kekuatan, kepandaian dan sebarang kelebihan yang dimiliki
hanya sebagai ujian daripada Allah.
Sebab itu, kita diperintah agar
berpegang kepada konsep bersyukur. Perkataan syukur dan perkataan yang berasal
dari kalimah itu disebut sebanyak 77 kali dalam al-Quran sebagai memberi
peringatan agar manusia tidak lalai menunaikan tanggungjawab sebagai
hamba-Nya.
Bersyukur dapat menghindarkan sifat
lupa diri, bongkak, ujud dan tamak yang mudah menguasai diri orang yang
dilalaikan dengan kenikmatan dunia. Sifat itu membawa kehancuran kehidupan
manusia yang merasakan apa yang dinikmati adalah hasil usahanya.
Sebab itu, kalimah syukur kerap
digandingkan dengan kalimah zikr (ingat) yang memberi peringatan agar manusia
terus istiqamah tetap mengikuti jalan diredai dan tidak mudah lupa diri serta
kufur dengan nikmat yang diperoleh.
Nabi Sulaiman, sentiasa mengingati
dan mengucapkan rasa bersyukur dengan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah
kepadanya. Keupayaannya memerintah manusia dan seluruh makhluk lain adalah
anugerah istimewa yang diberikan oleh Allah kepadanya.
Firman Allah bermaksud: “Kata
Sulaiman: “Ini adalah anugerah daripada Tuhanku untuk menguji diriku sama ada
aku bersyukur kepada-Nya ataupun aku ingkar. Dan sesiapa yang kufur (ingkar),
sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya Lagi Maha Pemurah.” (Surah an-Naml, ayat 40).
Amalan bersyukur pada hakikatnya
adalah manifestasi untuk menyatakan terima kasih yang tidak terhingga kepada Allah
Yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih. Tanpa izin Allah sudah pasti kita tidak
akan dapat meneguk walau setitik air atau merasai nikmat biarpun sedetik.
Sesiapa yang tiada dalam hatinya
perasaan bersyukur, itulah tanda-tanda hatinya telah mati. Dia bakal menempuh
kehidupan lebih sukar pada masa akan datang dan di akhirat nanti. Allah menarik balik nikmat kepada orang yang
tidak bersyukur secara nyata maupun tidak nyata.
Banyak umat terdahulu yang menerima
pembalasan dibinasakan hidup mereka di dunia disebabkan tidak bersyukur dan
ingkar perintah Allah. Kita sepatutnya mengambil pengajaran kisah yang menimpa
penduduk Saba yang ditimpa banjir besar dan sikap angkuh Qarun yang ditelan
bumi bersama-sama harta kekayaan.
Saba adalah satu kabilah Arab yang
tinggal di Yaman sekarang ini. Mereka mendirikan kerajaan yang terkenal dengan
nama kerajaan Sabaiyyah dengan Marib sebagai kotanya. Kerajaan Sabaiyyah membangun
dan rakyat dapat menikmati kehidupan aman, sejahtera dan mewah hasil pembinaan
Ampangan Marib.
Kemewahan dan kenikmatan yang
dilimpahi Allah telah menyebabkan kaum Saba lupa diri dan ingkar seruan para
rasul, lalu Allah timpakan azab banjir besar atau ‘sailul arim’ akibat pecahnya
Ampangan Marib sepertimana dijelaskan Allah dalam surah Saba, ayat 16.
Qarun pula menerima pembalasan
disebabkan perasaan angkuh memiliki kemewahan dan kekayaan di dunia. Qarun
asalnya dari kalangan orang beriman kepada Allah dan menjadi pengikut setia
Nabi Musa.
Namun setelah dia memperoleh
kekayaan, dia tidak bersyukur. Dia menolak permintaan Musa agar mengeluarkan
zakat dan bersedekah kepada kaumnya daripada hasil kekayaan itu. Qarun menjadi
durhaka kepada Allah kerana mengaku kekayaan yang dimiliki itu adalah hasil
usahanya sendiri.
Cerita keangkuhan Qarun dan nasib
yang menimpanya disebabkan tidak bersyukur disebut dalam beberapa ayat surah
al-Qashash.
Sebahagian daripada ayat 76 surah
itu bermaksud: “Sesungguhnya Qarun itu termasuk kaum Musa, tetapi dia melakukan
aniaya kepada mereka, dan Kami berikan kepadanya kekayaan, yang kuncinya berat
dipikul oleh sekumpulan orang yang kuat.”
Manakala sebahagian maksud ayat 78
pula: “Qarun menjawab: Kekayaan yang diberikan kepadaku hanyalah kerana
pengetahuanku.”
Keangkuhan Qarun itu
Allah balas dengan membenamkan Qarun dan seluruh harta kekayaannya ke dalam
bumi. Firman Allah bermaksud: “Lalu Qarun dan istananya Kami benamkan ke dalam
bumi.” (Surah al-Qashash, ayat 81).
Jelas sekali betapa pentingnya
amalan bersyukur dan sentiasa istiqamah dalam mengabdikan diri dan beribadat
kepada Allah. Keimanan perlu sentiasa utuh tidak kira ketika menikmati
kesenangan maupun berdepan dengan cubaan berat.
No comments:
Post a Comment