Friday, 1 December 2023

PERJUANGAN MAT KILAU MENENTANG SISTEM RESIDEN

Perjuangan mencapai kemerdekaan biarpun dicatatkan dalam sejarah dilakukan dengan rundingan tanpa pertumpahan darah, namun sejarah yang panjang sebelum itu telah terpahat nama tokoh terbilang yang berjuang menentang penjajah secara kekuatan.
 
Nama terbilang seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Abdul Rahman Limbong, Dol Said, Rentap dan ramai tersimpan dalam lipatan sejarah sebagai pejuang kemerdekaan.
 
Mat Kilau, seorang tokoh pejuang yang unggul di negeri Pahang. Beliau terkenal dengan keberanian dan kegagahannya melancarkan gerakan penentangan (1891-1895), membantah campur tangan British dalam urusan pentadbiran Pahang.
 
Mat Kilau bin Imam Rasu dilahirkan pada tahun 1865 di Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Bapanya ialah Imam Rasu bin Shahrum atau dikenali Tok Gajah, manakala ibunya Mahda binti Tok Kaut Burau.
 
Mat Kilau dikatakan mahir mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai "Dikir Pahang". Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras.
 
Pada usia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan Yang Chik binti Imam Daud yang berasal dari Kampung Kedondong. Imam Daud ialah seorang guru agama di daerah Pulau Tawar dan juga merupakan guru mengaji kepada Mat Kilau dan rakan-rakannya.
 
Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan.
 
Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Montok (Hj. Uthman bin Senik) yang merupakan mufti Pahang ketika itu.
 
Mat Kilau juga dikatakan pergi bertapa di Gua Kota Gelanggi yang terletak tidak jauh dari Pulau Tawar untuk mendalami ilmu yang dituntutnya. Gua tersebut masih ada hingga kini.
 
Mat Kilau membantah pelaksanaan sistem Residen yang mengurangkan kuasa Sultan dalam hal-ehwal pentadbiran, sekali gus mengetepikan peranan pembesar tempatan serta kesejahteraan rakyat. 
 
Dalam strategi awal penentangannya, Mat Kilau mengarahkan pengikutnya memotong talian telegraf bagi menyukarkan dan memutuskan perhubungan antara pegawai pentadbir British.
 
Bagaimanapun, perbuatan ini dapat dikesan pihak British. Pihak British pula cuba memujuk Mat Kilau agar bekerjasama dengan mereka, namun ditolak oleh Mat Kilau. Keengganan Mat Kilau bekerjasama dijadikan alasan oleh British menangkapnya. Dengan ini gerakan memburu Mat Kilau serta pengikutnya mula dilancarkan.
 
Perjuangan dan ketokohan Mat Kilau ini dapat dilihat daripada kesungguhan dan kesanggupan beliau berjuang berterusan menentang British walaupun menghadapi pelbagai kesukaran. Beliau menyedari Sultan yang berada di bawah pengaruh dan telunjuk British tidak mungkin memberi sokongan kepada usaha penentangan itu.
 
Ini ditambah pula dengan ada beberapa pembesar dan orang tempatan sendiri yang sanggup berpihak kepada British dengan menyalurkan maklumat dan menyertai gerakan memburu beliau dan pengikutnya. Mat Kilau juga menyedari bahawa segala alatan senjata tradisi dan jumlah kecil senjata yang digunakan oleh pengikutnya, sukar menandingi senjata moden digunakan askar upahan British.
 
Gerakan penentangan yang tidak bersepadu ditambah dengan jumlah pengikut yang tidak ramai, menyukarkan lagi peluang mereka mengalahkan dan menghalau British dari bumi Pahang. Namun Mat Kilau tetap meneruskan perjuangannya habis-habisan sehingga kampung tempat tinggalnya, iaitu Kampung Budu, dibakar British.
 
Penentangan Mat Kilau walaupun tidak berjaya menyekat kemaraan British, setidak-tidaknya dapat menyedarkan pihak British agar tidak memandang remeh terhadap keupayaan rakyat tempatan yang memiliki kekuatan tersendiri seperti ditonjolkan oleh Mat Kilau.

Baca juga

No comments:

Post a Comment