Tuesday 17 May 2022

UBI ITIK SESUAI DIBUAT PENGAT

 
Ubi Itik merupakan sejenis ubi yang membesar di dalam tanah. Ia merupakan jenis ubi yang popular di Kelantan.

Pokok ubi itik merupakan sejenis pokok yang menjalar dengan bentuk daunnya yang berbentuk seakan daun sirih dan batang yang berduri. Untuk menyokong, kayu pacang diperlukan untuk menjalar.

Ubinya mempunyai pelbagai bentuk dan tidak sama setiap satunya. Ubi ini sederhana besar iaitu antara 3cm - 10cm.

Kebanyakan jenis ubi tidak bermusim. Tumbuh apabila ditanam dan menghasilkan ubi atau isi apabila sampai tempoh berisi. 

Namun, kebanyakan ubi ditanam secara bermusim apabila selesai tanaman tertentu atau bersesuaian dengan tempoh musim seperti musim panas dan musim tengkujuh. Begitu juga dengan ubi itik.

Ubi itik antara jenis tidak bermusim. Namun, ia mudah ditemui pada musim tengkujuh. Pada masa itu, bukan sahaja ubi itik mudah diperoleh dijual di tepi jalan dan pasar, bahkan jenis ubi lain seperti ubi keledek, ubi kayu, ubi badak dan ubi keladi.

Ini kerana biasanya ia dituai pada musim tengkujuh untuk mengelak ubi menjadi carak atau rosak jika terendam lama di dalam air. 

Tambahan pula, pada musim tengkujuh permintaan terhadap pelbagai jenis ubi, termasuk ubi itik agak tinggi. 

Ubi itik tidak sama dengan ubi torak, biarpun ada sedikit persamaan. Bentuk ubi itik seakan kaki itik. Dari tangkai ia akan berkembang membentuk seperti kaki itik. Manakala ubi torak bentukya seakan buah binjai. 

Ubi ini rasanya manis dan tekstur gembur. Jadi, ia sesuai untuk direbus dan dibuat pengat. 

Namun, dalam kes tertentu, rasanya sedikit rasa pahit dan isinya juga sedikit berurat. Ia biasanya berlaku kepada ubi yang terbantut tumbesarannya. Ubi dalam kategori ini sukar menjadi empuk apabila direbus. 

No comments:

Post a Comment