Pokok kekabu ditanam untuk mendapatkan kekabu atau gentian yang digunakan untuk membuat bantal dan tilam. Gentian yang seakan-akan kapas itu akan disumbat di dalam sarung bantal atau tilam.
Namun, perubahan masa mengubah kepentingan pokok kekabu. Tilam dan bantal kini kebanyakannya dibuat menggunakan kapas dan polimer kerana bekalannya mudah diperoleh.
Bekalan kekabu sukar diperoleh secara banyak disebabkan tidak ada pihak menanamnya dalam skala ladang. Orang dahulu menanamnya hanya untuk kegunaan sendiri. Ada juga mencari kekabu di hutan.
Kebanyakan pokok kekabu di kawasan rumah kini ditebang kerana tidak lagi ingin mendapatkan kekabu. Tambahan pula, kekabu yang gugur berterebangan di kawasan rumah menyebabkan gangguan seperti masuk mata dan mulut.
Biarpun bantal dan tilam kekabu tidak banyak digunakan sekarang, tetapi ia masih ada peminatnya. Sebab itu, ada pengusaha menjadi pengeluar bantal kekabu.
Bantal atau tilam yang disi dengan kekabu mampu bertahan sehingga 20 tahun, tetapi ia perlu dijauhkan dari air, dan dijemur dan dipukul dengan pemukul rotan bagi menyingkir debu kekabu yang telah hancur.
Kelebihan bantal kekabu ialah bersifat sejuk, memerangkap haba dan tidak mengandungi bahan kimia. Jika selalu dijemur ia kembali 'gebu' dan selesa digunakan.
No comments:
Post a Comment