Ajaran Islam amat mengutamakan
hubungan baik sesama manusia. Sebarang
bentuk permusuhan ditegah dilakukan kerana ia bertentangan dengan semangat
persaudaraan yang ditekankan di dalam Islam.
Hubungan erat yang perlu dibina
bukan terhad sesama Islam saja. Islam
turut mengarahkan agar penganutnya menghormati penganut agama lain supaya
terbentuk hubungan yang baik.
Penganut Islam terpaksa berdepan
cabaran yang besar apabila hidup di tengah-tengah masyarakat yang berbilang
kaum, etnik, pegangan fahaman agama dan adat resam. Konflik kepentingan agama
sering dicetuskan oleh pihak yang bertanggungjawab.
Ketika Islam mula disebarkan di kota
Makkah, cabaran utama ialah berdepan situasi masyarakat yang berbangga dengan
keturunan dan mengamalkan pelbagai adat resam. Keadaan ini berjaya diubah apabila Islam menguasai sepenuhnya kota
Makkah selepas pembukaan kota Makkah.
Konsep penerimaan Islam terhadap
masyarakat majmuk membuktikan Islam tidak bersifat jumud. Ajaran Islam bersifat universal dan lengkap
yang sesuai diamalkan dalam masyarakat berbilang agama.
Penganut Islam bersedia berkongsi
kehidupan dengan penganut agama lain. Ini sama ada penganut Islam sebagai
majoriti maupun minoriti dalam sesuatu masyarakat. Biarpun sebagai majoriti, Islam menghormati
hak agama minoriti. Kekuasaan yang
dimiliki tidak digunakan untuk menindas pihak minoriti.
Islam menghormati fitrah manusia
yang berbilang bangsa dan agama anutan. Asal manusia tetap satu daripada Nabi
Adam. Jadi, menghormati sesama manusia adalah manifestasi kepada bahawa kita
adalah berasal keturunan yang sama.
Lahirnya manusia yang berbagai
bangsa dan agama ada hikmahnya. Allah
mencipta sedemikian supaya manusia saling mengenali antara sama lain.
Firman Allah bermaksud: “Wahai
manusia! Sesungguhnya Kami mencipta kamu
daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu
berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal mengenali antara satu sama
lain.” (Surah al-Hujurat: 13).
Orang bukan Islam dalam negara Islam
perlu diberi kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing. Orang Islam ditegah sama sekali menghina atau
merosakkan sesuatu yang berkaitan dengan agama lain.
Orang bukan Islam yang sedia tunduk
kepada pemerintah Islam adalah haram diperangi atau dilakukan perbuatan khianat
terhadap mereka. Apa yang mereka nikmati
juga hendaklah diteruskan tanpa sekatan.
Firman Allah bermaksud: “Allah tidak
melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak
memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung
halaman kamu. Sesungguhnya Allah
mengasihi orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8).
No comments:
Post a Comment