Guru umpama lilin membakar diri. Sanggup
melakukan apa sahaja demi melaksanakn tugas mendidik anak bangsa. Biarpun
sukar, sehingga terpaksa bergadai nyawa, guru tetap melaksanakan tugas.
Itulah antara cabaran dan pengorbanan guru yang
mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar yang terletak kira-kira 60 kilometer
dari Gua Musang. Ketika hari biasa, perjalanan ke SK Balar mengambil masa
kira-kira tiga jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau motosikal
melalui jalan balak.
Bagaimanapun, ketika hari hujan, terutama
ketika musim tengkujuh, masa perjalanan boleh mencecah sehingga sembilan jam.
Bukan masa yang disoalkan, tetapi cabaran sepanjang perjalanan itu.
Selain jerih perjalanan jauh dan mengambil
masa yang lama, guru-guru berkenaan yang mengajar anak Orang Asli suku Temiar juga
terpaksa bertabah dengan kemungkinan kenderaan dinaiki rosak. Malah nyawa juga
dipertaruhkan dalam banyak keadaan sepanjang perjalanan termasuk mengusung
motosikal mengharung arus sungai selepas hujan lebat.
Mereka bukan sahaja melalui jalan berselut
tidak ubah seperti sawah padi berwarna kekuningan, tetapi juga terpakasa
melalui sungai dengan arus laju dan berkedalaman kira-kira satu meter. Untuk
melepasi sungai itu, mereka terpaksa mengusung motosikal.
Kejadian kerosakan kenderaan dan kemalangan
terbalik dan masuk lurah atau gaung bukan asing lagi. Mereka terpaksa menghadapi
situasi tersebut setiap kali masuk ke Pos Balar dan sebaliknya.
Bagi memastikan keselamatan, terutama jika
berlaku sesuatu yang tidak diingini, guru akan bergerak secara berkumpulan agar
dapat membantu antara satu sama lain jika berlaku kecemasan atau yang memerlukan
bantuan.
Pengorbanan guru wajar dihargai dan “dibayar” oleh pelajar dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya.
"Besar harapan kami agar usaha ini
membuahkan hasil apabila melihat anak-anak didik kami terutama anak-anak Orang
Asli ini berjaya," kata Guru Besar SK Balar, Mohd Hazlimi Mat Arriffen.
Terdapat 20 orang guru mengjar di SK Balar
(Disember 2023)
No comments:
Post a Comment