Monday, 5 February 2024

SEJARAH CHABANG EMPAT TOK MEK NGAH, TUMPAT

 
Kampung Chabang Empat terletak di dalam mukim Bechah Resak, daerah Terbok, jajahan Tumpat. Namun, nama Kampung Chabang Empat lebih dikenali dengan nama Chabang Empat Tok Mek Ngah.
 
Pun begitu, nama Chabang Empat Tok Mek Ngah tidak merangkumi seluruh Kampung Chabang Empat. Ia lebih merujuk kepada satu pekan kecil yang berada berhampiran dengan satu cabang empat atau persimpangan Jalan Pasir Mas – Tumpat dan Jalan Wakaf Bharu -  Bunohan.
 
Sebelum jalan ditar, laluan ini merupakan jalan denai lembu kerbau yang dikelilingi tanah-tanah ran (tanah pertanian yag ditanam dengan pelbagai sayuran secara bergilir-gilir). Ia menjadi laluan awal peniaga dari Kampung Berangan ke Meranti dan dari Wakaf Bharu ke Kampung Bunohan.

Nama Tok Mek Ngah adalah sempena nama seorang peniaga goreng pisang dan air batu cendol yang juga merupakan isteri kepada seorang pemilik tanah utama kawasan ini iaitu Che Wan Daud. Tok Mek Ngah ini sebenarnya berasal dari Muar, Johor.
 
Pekan ini telah dibuka oleh Tok Mek Ngah sekitar tahun 1930-an. Pada masa awal pembukaan pekan ini Tok Mek Ngah sekadar menjual kuih muih di Cabang Empat (dekat Kedai depan Balai Polis sekarang).
 
Semasa pembinaan jalan raya baru (projek naik taraf jalan kampung), para pekerja kontrak cukup mengenali keenakan goreng pisang dan air batu cendol Tok Mek Ngah ini sehingga ia menjadi satu trademark/landmark bila bercerita kepada pihak ketiga.

Setelah jalan raya Tumpat - Pasir Mas (naik taraf) dan Wakaf Bahru - Bunohan (jalan baru), Kampung ini (persimpangan) menjadi semakin maju dan banyak rumah kedai didirikan di sepanjang jalan. Lalu kemudiannya ia dikenali dengan nama Chabang Empat Tok Mek Ngah.

No comments:

Post a Comment