Sunday, 21 January 2024

KENYATAAN BERHUBUNG DENGAN QUANTUM MENTAL

Bank Negara Malaysia (BNM) di dalam satu siaran akhbar pada 22 Januari 2024 menyatakan bahawa Quantum Metal Sdn Bhd (QMSB) dikehendaki melaksanakan langkah pencegahan untuk mengelakkan aktivitinya daripada disalahgunakan sebagai saluran bagi aktiviti pengubahan wang haram atau pembiayaan keganasan.

Bank pusat menekankan walau bagaimanapun, dengan status QSMB sebagai institusi pelapor, itu tidak bermakna produk dan aktiviti perniagaannya seperti produk dan dagangan emas adalah didaftarkan, diluluskan atau dilesenkan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh BNM.

BNM menjelaskan bahawa sebarang dakwaan bahawa aktiviti QMSB diluluskan dan dilesenkan oleh BNM, secara langsung atau tidak langsung, adalah tidak benar.

Kenyataan itu bertujuan menjelaskan beberapa dakwaan dan salah nyata fakta yang tular menerusi domain awam berhubung dengan urusan QMSB.

BNM menjelaskan bahawa QMSB adalah institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Syarikat itu berurusan dengan logam atau batu berharga, iaitu aktiviti yang disenaraikan sebagai perkara 24 di bawah Bahagian 1 dalam Jadual Pertama AMLA bersama-sama dengan sektor perniagaan dan profesion bukan kewangan yang ditentukan yang lain seperti peguam, akauntan, syarikat amanah dan setiausaha syarikat.

BNM juga maklum mengenai pelbagai dakwaan menerusi media sosial bahawa semua transaksi masuk dari luar negara memerlukan kelulusan dan pengesahan BNM berhubung dengan AMLA.

BNM menjelaskan bahawa sebarang aliran masuk dana ke dalam negara, kecuali untuk tujuan peminjaman luar pesisir yang melebihi had tertentu yang diperuntukkan di bawah dasar pertukaran asing, tidak memerlukan pengesahan dan kelulusan daripada BNM terlebih dahulu.

Tiada sesiapa pun yang boleh menyalahgunakan nama dan urusan surat-menyurat BNM sehingga boleh mengundang salah faham bahawa produk atau perkhidmatan mereka diluluskan oleh BNM.

Dakwaan mempunyai kaitan dengan BNM oleh mana-mana entiti atau individu tidak seharusnya dijadikan satu-satunya pertimbangan bagi menentukan kesahihan perniagaan terbabit.

BNM ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila membuat keputusan pelaburan. Justeru, sebarang aktiviti kewangan yang disyaki dilakukan tanpa kebenaran hendaklah dilaporkan kepada pihak penguat kuasa undang-undang yang berkaitan.

Gambar sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment