Institusi wakaf wajar dijadikan sebagai salah satu instrumen yang mampu menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara. Justeru, semua
lapisan masyarakat perlu memainkan peranan untuk menyemarakkan amalan berwakaf
serta mempromosikannya sebagai antara sumber kewangan sosial Islam dalam usaha
memperkasakan ekonomi negara.
Agensi
kerajaan dan swasta perlu turut melihat amalan wakaf amat membantu dalam penyampaian
perkhidmatan kepada masyarakat.
Ini
berikutan pelbagai inisiatif wakaf yang dibangunkan boleh menjadi perintis
kepada usaha pembaharuan, penambahbaikan dan pengukuhan kesejahteraan Keluarga
Malaysia.
Jabatan
Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Majlis Agama
Islam Negeri (MAIN) serta universiti awam sudah bergerak seiring dalam usaha
memberi kesedaran dan membudayakan amalan berwakaf dalam kalangan Keluarga
Malaysia.
Antara
usaha JAWHAR ialah menerbitkan beberapa buku
yang membincangkan secara khusus berkaitan wakaf. Antaranya, Manual Pengurusan
Agihan Manfaat Wakaf hasil kerjasama JAWHAR bersama Universiti Putra Malaysia
(UPM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Ia
juga merangkumi penerbitan Perakaunan Aset Wakaf di Malaysia hasil kerjasama
JAWHAR dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Garis Panduan Pungutan
Dana Wakaf Al-Quran yang membabitkan kerjasama JAWHAR dengan Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM).
Amalan
berwakaf bukan perkara asing, sebaliknya sudah dilaksana dan dimanfaatkan
masyarakat sejak zaman Rasulullah SAW lagi.
Begitu
juga di luar negara, wakaf terbukti dapat menyumbang kepada perkembangan dan
pembangunan negara dalam sektor ekonomi, pendidikan serta kesihatan.
Sebagai
contoh, Universiti Al-Azhar di Mesir menjadi ikon peranan wakaf dalam
masyarakat. Universiti itu ditadbir sepenuhnya daripada sumber wakaf, dan terus
maju serta berjaya menghasilkan cendekiawan disegani seantero dunia.
Rancangan
Malaysia Ke-12 (RMK-12) turut meliputi 10 strategi membabitkan peranan wakaf,
seperti menggalakkan sistem kewangan yang mampan dan inklusif serta
memanfaatkan sepenuhnya tanah rizab Melayu dan instrumen wakaf.
No comments:
Post a Comment