Sumbangan pihak swasta atau
individu dalam memajukan industri pelancongan di Kelantan semakin terserlah.
Banyak destinasi pelancongan kini diuruskan oleh syarikat dan individu.
Salah satu pihak yang memberi
sumbangan besar dalam memajukan ekopelancongan di delta Sungai Kelantan ialah Pulau
Sri Tanjung.
Pulau Sri Tanjung adalah syarikat
pengendali Pasar Terapung Pulau Sri Tanjung di Pulau Renjuna, di samping menyediakan
inap desa dan tapak perkhemahan serta restoran. Ia juga menyediakan tempat
untuk pengendalian kursus untuk kementerian, jabatan, sekolah, NGO dan sebagainya.
Sri Tanjung bermula dengan
Restoran Sri Tanjung di satu lokasi di Pulau Renjuna yang dikenali sebagai “tanjung”
di kalangan penduduk setempat. Kemudian ia berkembang menjadi inap desa dan kem
untuk kursus dan aktiviti berkumpulan di samping menyediakan kemudahan menyewa
peralatan rekreasi seperti basikal dan kayak.
Sri Tanjung kemudian memperkenalkan Pasar Terapung Pulau Sri Tanjung. Hari operasi pasar terapung pada setiap Jumaat dan Sabtu.
Pengunjung berpeluang mengalami
pengalaman menaiki bot melalui muara Sungai Kelantan menyusur atau melalui
beberapa buah pulau, melihat pemandangan indah tebingan pulau dan kehidupan penduduk
pulau.
Di pasar terapung disajikan
dengan pemandangan dan pengalaman membeli pelbagai jenis makanan yang dijual di
atas perahu atau bot. Kemudian, pengunjung boleh menikmati makanan di kawasan
disediakan.
Pelbagai aktiviti menarik juga
diadakan untuk menghiburkan dan mendedahkan pengunjung dengan maklumat serta
pengalaman yang berguna.
Kewujudan pasar terapung itu
memberi peluang kepada penduduk kepulauan menjana ekonomi dengan berniaga di
situ, peluang pekerjaan di chelet dan menambah bilangan penumpang bot bagi
mereka yang mengusahakan bot penambang.
Pengunjung boleh ke sana dengan
menaiki bot di Jeti Kuala Besar, Kota Bharu atau melalui Jeti Kok Majid,
Tumpat. Ada bot penambang yang menyediakan perkhidmatan membawa penumpang yang
fungsinya seperti teksi air.
Kawasan kepulauan mempunyai
daya tarikan yang unik. Susana perkampungan yang dihiasi dengan pokok nipah di
pinggir sungai, sehinggalah lambaian pokok kelapa yang tinggi, serta deruan
enjin bot yang sesekali bergema adalah suasana yang tidak terdapat di tempat
lain.








No comments:
Post a Comment