Friday, 2 August 2024

FERI KAMPUNG PASIR KELANG

 
Kampung Pasir Kelang terletak di jajahan Kuala Krai di seberang Sungai Kelantan. Jadi, untuk ke Kampung Pasir Kelang perlu menaiki feri atau bot menyeberangi Sungai Kelantan. Jika tidak mahu menggunakan bot atau feri, boleh melalui jalan darat dari Tanah Merah, tetapi jaraknya jauh dan mengambil masa yang lama.

Cara paling mudah dan menjadi pilihan adalah menggunakan feri. Feri milik Koperasi Kampung Pasir Kelang Berhad yang mampu membawa sebanyak enam kereta, 20 motosikal dan penumpang pada satu-satu masa, mula beroperasi pada 2013.

Perkhidmatan feri ini memang banyak membantu penduduk untuk pergi ke tempat lain yang berada di seberang Sungai kelantan. Ia juga memudahkan mereka yang bekerja di Kampung Pasir Kelang, seperti guru, untuk berulang alik ke tempat kerja.

Di Kampung Pasir Kelang terdapat sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Pasir Kelang. Majoriti guru tinggal di luar kawasan kampung tersebut.

Sebenarnya Kampung Pasir Kelang cukup terkenal kerana ia menjadi pintu masuk kepada beberapa buah kampung lain seperti Kampung Pasir Kelang Baru, Kampung Buyong Darul Hijrah, Kampung Sungai Taku, Kampung Taku Estet dan Kampung Bahagia. Penduduk kampung-kampung tersebut perlu melalui Kampung Pasir Kelang dan menggunakan perkhidmatan feri untuk ke tempat lain.

Perkhidmatan feri ini beroperasi setiap hari dan mengambil masa kurang lima minit perjalanan untuk menyeberangi Sungai Kelantan dengan lebar lebih kurang 250 meter.

Pada hari biasa, feri ini beroperasi dari 7 pagi hingga 11 malam, namun pada musim perayaan, operasinya dilanjutkan sehingga lewat pagi bagi memastikan tidak ada penumpang yang terkandas atau menunggu di jeti terlalu lama.

Tambang yang dikenakan adalah RM1 bagi setiap individu, motosikal RM2 dan untuk kereta pula antara RM6 atau lebih bergantung kepada jenis kenderaan dan juga muatan barang yang dibawa bersama.




No comments:

Post a Comment