Tan Sri John Joe Raj (lebih dikenali JJ Raj) yang berasal
dari Chemor, Perak terkenal selaku Ketua Polis Daerah Pagoh, Johor yang pernah
mengetuai Skuad Harimau (Tiger Squad) untuk menyelamatkan warga Balai Polis
Bukit Kepong yang diserang pengganas komunis, sewaktu era darurat pada tahun 23
Febuari 1950.
Raj berada dalam kumpulan pertama 10 pegawai polis percubaan
pada tahun 1947, pada usia 26 tahun. Beliau
tamat latihan kepolisan pada 1 Ogos 1948 dan ditauliahkan pangkat Inspektor
Percubaan.
Penempatan pertamanya ialah di Pagoh sebagai ketua polis
daerah pada tahun 1950. Di situ, beliau memperkenalkan penubuhan "Skuad Harimau"
yang terdiri daripada seorang sarjan, seorang kopral dan lapan konstabel.
Sepanjang perkhidmatan dalam PDRM, selain sebagai Ketua
Polis Daerah Pagoh (1950), jawatan lain disandang ialah Ketua Polis Daerah
Tangkak (1952), Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar (1954), Ketua Polis Daerah
Kulim (1955), Ketua Polis Daerah Segamat (1957) dan Ketua Polis Daerah Kuala
Lumpur (1958) dan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan (1959).
Beliau juga pernah dilantik menjadi Ketua Polis Negeri Pahang (1961), Komandan
Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Kubu Bharu (1964), Ketua Polis Negeri
Sembilan (1967), Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak (1969) dan Ketua Polis
Selangor (1973) serta Pengarah Pengurusan Bukit Aman (1974) sebelum bersara dua
tahun selepas itu.
Beliau bersara wajib pada tahun 1976 dengan pangkat
Komisioner Polis.
Selepas bersara, beliau membabitkan diri secara aktif dalam sektor korporat,
pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sukarelawan dan persatuan
sukan.
Tan Sri JJ Raj meninggal dunia pada 6 Nov 2021 pada usia 100
tahun.

No comments:
Post a Comment