Ingat
mati. Kematian pasti dihadapi oleh setiap yang hidup biarpun kita tidak
mengetahui saat kematian bakal tiba. Perhatikan di sekeliling kita tidak
terdapat orang yang berumur lebih 150 tahun. Malah didapati jarang ditemui
orang berumur lebih 80 tahun. Secara purata, umur 60 tahun sudah dikira
memasuki ‘usia menunggu kematian’. Pintu kematian semakin dekat dirasakan.
Usia umat Muhammad. Rasulullah telah mengingatkan umur umatnya tidak
panjang seperti umat nabi-nabi terdahulu yang mencecah usia ratusan tahun.
Rasulullah sendiri wafat ketika usia 63 tahun.
Setiap bernyawa pasti mati. Allah menjelaskan tentang kematian yang pasti dihadapi oleh setiap yang bernyawa.
Firman Allah dalam surah al-Anbia ayat 34 bermaksud: “Setiap yang bernyawa
pasti akan mati.”. Namun, kematian manusia bukan seperti haiwan dan
hidupan lain yang bermakna tamatnya hidup di dunia ini.
Manusia dimatikan untuk dibangkitkan kembali di akhirat dan seterusnya menerima balasan di atas apa yang dilakukan di dunia. Justeru, kehidupan manusia sebagai khalifah di dunia perlu mengikuti apa yang ditetapkan oleh Allah.
Sesungguhnya manusia dicipta untuk memakmurkan dunia dengan menyembah dan beribadat kepada Allah. Firman Allah bermaksud: “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” – (Surah adz-Dzariyat, ayat 56).
Maksud menyembah dan beribadat itu meliputi segenap detik kehidupan. Ia tidak setakat ibadat khusus seperti sembahyang dan haji semata-mata. Sebaliknya, melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang juga dikira amalan menyembah dan beribadat kepada Allah.
Justeru itu setiap apa yang dilakukan dicatatkan di dalam rekod yang dijaga oleh dua malaikat, masing-masing mencatat kebaikan dan keburukan tanpa sebarang kesilapan.
Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang melakukan kebaikan walaupun sebesar zarah akan tetap diberi pembalasan. Dan barang siapa melakukan kejahatan walaupun sebesar zarah, maka dia juga tetap akan diberi pembalasan.” – (Surah al-Zalzalah, ayat 7 hingga 8).
Adapun, tujuan mengingati kematian merupakan cara terbaik menghisab diri tentang apa yang telah dilakukan sepanjang tempoh hidup ini. Adakah kebaikan lebih banyak dilakukan, ataupun kejahatan memenuhi kehidupan.
Dengan mengingati kematian menjadi ‘pengawas’ kepada diri daripada melakukan kejahatan. Mengingati kematian bermakna kita menyedari tujuan hidup sebenarnya dan ke mana destinasi berikut akan ditujui.
Justeru itu, dalam menghitung peluang masa masih hidup ini seharuslah dimanfaatkan dengan melakukan segala kebaikan yang termampu.
Pada masa yang sama, jika disedari telah melakukan dosa sama ada secara sengaja
maupun tanpa disedari, perlu segera bertaubat atau memohon keampunan daripada
Allah.
Ingat taubat. Rasulullah mengingatkan umatnya agar sentiasa bertaubat kerana Allah maha menerima taubat. Namun taubat itu ada batasan waktunya.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya
selagi nyawa belum sampai di halkum (yakni sebelum sakarutulmaut).”- (Hadis
riwayat Tarmizi).
Sentiasalah mengingati kematian kerana saat kematian tidak mengira usia. Bukan hanya apabila telah melepasi usia tua sahaja baru kematian akan berlaku.
Mati tidak kira usia. Kematian boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa
mengira usia, tidak kira bayi dalam kandungan, kanak-kanak, remaja dan
tambah-tambah lagi orang yang sudah tua.
Sentiasa ingat mati. Justeru, perlulah setiap insan mengingati hari kematian agar dengan cara itu sentiasa berusaha melipat gandakan amalan kebajikan dan menjauhkan perbuatan ditegah oleh Allah.
Tidak takut mati. Sesungguhnya orang beriman tidak takut menghadapi saat kematian. Malah kematian itulah peluang untuknya mengadap Allah lebih awal.
No comments:
Post a Comment