Monday, 1 February 2021

GANJARAN SABAR HADAPI DUGAAN

Bagi mereka yang menghadapi ujian getir dan menghadapinya dengan ketabahan serta bersabar di samping terus berusaha, iman mereka akan bertambah dan mendapat ganjaran orang yang bersabar. Mereka yang bersyukur dengan nikmat dikurniakan, akan mendapat ganjaran orang yang bersyukur.

Sabda Rasul SAW: "Alangkah hebatnya seorang Muslim di mana apabila ditimpa musibah mereka sabar dan apabila dikurniakan nikmat mereka bersyukur. Itulah yang terbaik bagi mereka." (Hadis riwayat Muslim).

Ketahui segala kelemahan kita dalam menghadapi ujian dari Allah SWT akan dapat ditampung jika sekiranya kita penuhi kehidupan kita dengan amalan solat dan terus melakukan kebajikan pada setiap masa.

Antara amalan penting dalam masyarakat ialah mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran kerana ia akan menyelamatkan umat daripada bencana umum yang akan diturunkan kepada semua.

Firman Allah SWT: "Takutlah kamu akan seksaan yang akan diturunkan kepada semua dengan kezaliman yang dilakukan oleh orang lain." (Surah Anfal, ayat 25).

Sabda Baginda lagi: "Demi diriku dalam genggaman-Nya, kamu hendaklah menyeru manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran atau kamu akan diazab kerananya dan doa kamu tidak akan dimakbulkan." (Hadis riwayat Tirmizi).

Dengan melakukan kebaikan secara bersungguh-sungguh dapat menjinakkan hawa nafsu yang sentiasa rakus dalam merencanakan kehidupan dunia. Ini antara tugas manusia yang dianugerahkan sebagai khalifah di muka bumi bagi mengimbangi hawa nafsu yang cenderung kepada kejahatan.

Firman Allah SWT: "Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)." (Surah Maryam, ayat 59)

Petanda kemusnahan sahsiah masyarakat dan umat ialah apabila mereka begitu mudah mengikut hawa nafsu. Mereka akan berusaha memenuhi kehendak hawa nafsu dan menghapuskan segala rintangan yang menghalang mereka daripada memperoleh apa dikehendaki.

Sabda Rasulullah SAW: "Musuhmu yang paling ganas ialah nafsumu sendiri yang berada antara dua sisimu." (Hadis riwayat Baihaqi)

Melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan nafsu supaya mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara. Apabila nafsu dapat dikalahkan, seseorang akan mengutamakan perkara yang dicintai Allah dan mengetepikan kehendak peribadi.

Dalam Ihya Ulumuddin, Imam Al-Ghazali berkata, antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin.

No comments:

Post a Comment