Kehidupan
manusia di dunia adalah untuk mencari bekalan hidup di akhirat. Setiap apa
yang dilakukan tidak kira kecil atau besar akan diberikan balasan sama ada pahala
atau dosa.
Pahala dan dosa yang dilakukan sepanjang hidup di dunia akan menentukan kehidupan selepas mati di alam kubur dan akhirat.
Hidup manusia diletakkan tanggungjawab untuk beribadat kepada Allah SWT. Kehidupan manusia tidak sama seperti haiwan yang tidak akan menerima apa-apa pembalasan atas apa yang dilakukan.
Allah SWT menjadikan hidup manusia di dunia bukan sia-sia atau secara main-main tetapi ada tanggungjawab tertentu. Manusia diberi akal fikiran supaya tidak terikut-ikut dengan gaya menyalahi fitrah.
Allah SWT berfirman bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu sia-sia saja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami? (Surah al-Mukminun, ayat 115)
Apakah kita bersedia dengan bekalan akhirat untuk menghadapi kehidupan yang kekal di sana. Nilaikan sendiri adakah gaya hidup, tingkahlaku dan amalan sehari-hari menjurus persediaan menjadi ahli syurga atau sudah pun tergelincir sebagai ahli neraka.
Mereka yang lebih banyak timbangan pahala dimasukkan ke syurga, manakala neraka pula menerima mereka yang lebih banyak melakukan dosa. Pahala dan dosa kedua-duanya adalah bekalan hidup di akhirat, pahala bekalan baik dan dosa pula bekalan tidak baik.
Kita dapat menilai sendiri kemungkinan hidup di akhirat berdasarkan garis panduan hidup yang telah ditetapkan Allah SWT.
Jika banyak melakukan perkara disuruh dan meninggalkan perkara dilarang, insyaalah di akhirat nanti menjadi penghuni syurga. Sebaliknya, neraka menjadi tempat bagi mereka yang hidupnya bergelumang dengan dosa.
Semestinya setiap muslim perlu berusaha untuk mengumpul pahala sebanyak mungkin dan menghindarkan daripada dosa untuk bekalan di akhirat.
Manusia sering dilalaikan daripada melalukan kebaikan disebabkan terlebih mengejar kebahagiaan hidup di dunia. Justeru, Allah SWT memberi peringatan bahawa kehidupan di akhirat itu lebih utama.
Firman Allah SWT bermaksud: "Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?." (Surah Yusuf, ayat 109).
No comments:
Post a Comment