Wednesday, 10 March 2021

PUASA SUNAT PADA 27 REJAB

Di kalangan masyarakat Islam di Nusantara, termasuk di Malaysia akan melakukan puasa sunat 27 Rejab yang dianggap mempunyai fadilat yang besar. Pun begitu, berdasarkan kepada semakan kitab-kitab karya ulama terkenal, tidak satupun ditemui mengenai suruhan dan fadilat puasa pada 27 Rejab.

Sebarang bentuk, puasa sunat tidak dianggap sunat melainkan terdapatnya nas sama ada daripada al-Quran atau hadis yang menggalakkan puasa sunat tersebut.

Di sini dikemukakan dari kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/114-117) berkenaan dengan puasa sunat yang terdapat dalam Islam.

Antara jenis puasa sunat ialah:

Puasa pada Hari Arafah. Iaitu pada 9 Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan ibadat haji. Daripada Abu Qatadah katanya: “Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada hari Arafah. Baginda bersabda yang bermaksud:

“Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadis riwayat Muslim)

Hari Arafah adalah hari yang afdhal antara hari yang lainnya. Ini berdasarkan  hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiada hari lain yang lebih banyak Allah membebaskan hamba-hamba-Nya daripada api neraka selain hari Arafah.” (Hadis riwayat Muslim)

Adapun orang yang sedang mengerjakan ibadat haji, tidak sunat berpuasa pada hari tersebut, bahkan dia sunat berbuka mengikut perbuatan Nabi SAW, di samping menguatkan tenaga untuk berdoa pada hari tersebut.

Puasa pada Hari Asyura dan Tasuaa. Asyura adalah hari yang kesepuluh bulan Muharam, manakala Tasuaa pula adalah hari yang kesembilan pada bulan tersebut. Ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Abbas katanya: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura dan Baginda menyuruh puasa pada hari tersebut.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)     

Hadis yang lain pula, daripada Abu Qatadah, Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada hari Asyura. Baginda bersabda bermaksud: “Ia menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis seterusnya, daripada Ibn Abbas katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Jika aku masih hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari yang kesembilan Muharram.” (Hadis riwayat Muslim)

Namun, Rasulullah SAW telah wafat sebelum tiba masa tersebut.

Hikmah berpuasa hari Tasuaa dan hari Asyura adalah untuk berhati-hati daripada kemungkinan berlaku kesilapan awal bulan. Begitu juga halnya supaya tidak menyamai perbuatan orang Yahudi. Mereka juga berpuasa pada hari kesepuluh bulan Muharam. Justeru, sesiapa yang tidak berpuasa pada hari Tasuaa dan hari Asyura, dia sunat berpuasa pada hari yang kesebelas bulan tersebut.

Puasa pada Hari Isnin dan Khamis. Dalil sunat berpuasa pada kedua-dua hari tersebut ialah hadis, daripada Aisyah katanya: “Rasulullah SAW mengambil berat tentang puasa pada hari Isnin dan Khamis.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Hadis seterusnya, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Semua amalan dipersembahkan pada hari Isnin dan Khamis. Justeru, aku ingin amalanku dipersembahkan ketika aku sedang berpuasa.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Puasa Selama Tiga Hari pada Setiap Bulan. Hari yang afdhal untuk melakukan puasa tersebut ialah pada malam bulan mengambang, iaitu pada hari yang ke-13, 14 dan 15 setiap bulan Islam yang dikenali juga sebagai hari-hari putih. Ini kerana malam hari tersebut terang benderang kerana cahaya bulan.

Ini berdasarkan hadis, daripada Abu Hurairah, katanya: “Rasulullah SAW meminta aku melakukan tiga perkara, iaitu puasa selama tiga hari pada setiap bulan, solat Dhuha dua rakaat dan solat Witir sebelum tidur.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis seterusnya, daripada Abu Qatadah, katanya Rasulullah SAW bersabda:

“Kelebihan puasa pada tiga hari setiap bulan menyamai puasa sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Muslim 1162)

Hadis yang lain pula, daripada Abu Dzar, katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, puasalah pada 13, 14, dan 15 haribulan.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Begitu juga hadis, daripada Qatadah bin Milhan, katanya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Walau bagaimanapun, puasa pada 13 Zulhijjah dikecualikan kerana haram berpuasa pada hari tersebut.

Puasa Selama Enam Hari pada Bulan Syawal. Cara yang afdhal adalah puasa berturut-turut sebaik sahaja selepas Hari Raya Aidilfitri. Namun, cara demikian tidaklah menjadi syarat.

Malah, sunatnya tetap didapati, sekalipun dilakukan secara berselang-selang hari. Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Ayub, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Muslim)

Marilah sama-sama kita beramal dengan apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan inilah yang diajar oleh Islam kepada kita. Semoga kita sentiasa mendapat taufiq dan hidayah daripada-Nya.

No comments:

Post a Comment