Penanaman
tembakau memberi keuntungan besar kepada petani. Namun pada masa sama, tanaman tembakau mudah
berdepan risiko kerosakan apabila batas ditengelami air kira-kira 12 jam
menyebabkan kerugian modal membajak, benih, baja dan tenaga sehingga menyebabkan
petani hilang pendapatan dan menanggung hutang.
Petani sebenarnya
bersedia berpindah kepada tanaman lain sekiranya ada tanaman alternatif yang
setara dari segi pasaran, harga, pendapatan, kestabilan dan jumlah tanaman.
Ada
petani cuba beralih kepada tanaman lain seperti ubi kayu, rosselle, labu dan
penternakan, namum mereka akhirnya terpaksa kembali menanam tembakau setelah
gagal mendapat pulangan lumayan berbanding tanaman tembakau.
Setelah membuat kajian selama beberapa tahun, tanaman
yang dikenalpasti sesuai ditanam untuk menggantikan tembakau ialah kenaf. Kenaf atau nama saintifiknya Hibiscus
cannabinus L. yang merupakan tanaman jangka pendek yang berasal dari Afrika
(barat Sudan). Ia merupakan sejenis pokok berserat bukan berkayu.
Kenaf tergolong dalam famili Malvaceae dan berada
di bawah genus Hibiscus yang mempunyai persamaan dengan tanaman bendi dan juga
kapas. Ada ditanam secara skala kecil dan komersial di China, Myanmar, India,
Bangladesh dan Thailand.
Kenaf mengandungi 30% fiber (serat) pada bahagian bast
(kulit luar) dan 70% empulur daripada bahagian dalam batang. Ketinggian pokok
mencapai 2m hingga 5m. Bagi pengeluaran fiber penuaian adalah antara 75 hingga
120 hari selepas penanaman. Penuaian bagi pengeluaran benih adalah 150 hari
selepas penanaman.
Lembaga Tembakau Negara (LTN) yang berperanan
memajukan industri tembakau telah ditukarkan kepada Lembaga Kenaf dan Tembakau
Negara (LKTN) sebagai badan berkanun di bawah Kementerian Perusahaan
Perladangan dan Komoditi (MPIC). Ia telah ditubuhkan dengan berkuatkuasanya
Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 pada 1 April 2010 bagi menggantikan
LTN.
LKTN diberi tanggungjawab untuk membangunkan
tanaman kenaf sebagai tanaman komoditi baru dan juga sebagai tanaman alternatif
kepada penanam tembakau selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan
tanaman kenaf sebagai tanaman 'Sumber Pertumbuhan Baru' di Malaysia.
Namun, kerajaan tidak berhasrat menghapuskan terus
penanaman tembakau dalam negara ini kerana yakin kajian mendalam perlu dilakukan
bagi melihat potensi komoditi tersebut dalam bidang lain dan bukan hanya
tertumpu terhadap pembuatan rokok.
Potensi daun tembakau sebagai bahan dalam bidang
farmaseutikal dan kesihatan adalah satu alternatif yang sedang dikenal pasti di
peringkat antarabangsa.
Proses pengurangan pengeluaran tembakau yang
dihasilkan dalam negara ini bermula sejak beberapa tahun lalu iaitu daripada
lebih enam juta kilogram pada 2009 kepada 5.5 juta kilogram (2010) dan 4.5 juta
kilogram tahun 2012.
Begitu juga bilangan petani yang menumpukan
penanaman tembakau juga semakin susut iaitu daripada lebih 4,000 orang pada
tahun 2009 kepada hanya 2,300 orang pada tahun 2012. .
Perkembangan penanaman kenaf memang
menggalakkan. Bermula tahun 2004 dengan
hanya berkeluasan 0.4 hektar dengan seorang penanam, bertambah mendadak
sehingga 778 hektar pada tahun 2010 melibatkan 409 penanam.
Pada tahun 2008, Kementerian Perusahan,
Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengumumkan bahawa tanaman kenaf bakal menjadi
sumber tanaman baru kepada penduduk luar bandar, khususnya di kawasan tanah
yang sesuai dengan tanaman berkenaan.
Pada tahun 2013, LKTN telah diberi peruntukan
sebanyak RM14 juta khusus untuk membantu penanam kenaf seluruh negara dan
menyasarkan penanaman seluas 2,500 hektar melibatkan 2,000 penanam di lapan
negari di seluruh negara.
Sehingga Julai 2013, seluas 1,117 hektar kawasan
telah ditanam dengan komoditi itu di seluruh negara dan sehubungan itu bantuan
sejumlah RM2.6 juta telah disalurkan kepada 683 pekebun.
Tumpuan LKTN bukan saja melibatkan bekas penanam
tembakau berhijrah bertukar kepada tanaman kenaf, tetapi mana-mana individu
yang berhasrat menceburi penanaman komoditi yang mempunyai masa depan cerah
dalam industri ini.
Penanaman kenaf ini melibatkan negeri Pahang
dengan keluasan 1,000 hektar, Kelantan (600 hektar), Terengganu (400 hektar),
Perak (200 hektar), Johor (180 hektar), Selangor (70 hektar), manakala Negeri
Sembilan dan Melaka seluas 50 hektar.
LKTN menyediakan bantuan sebanyak RM2,385 sehektar
bagi penyediaan tanah, benih dan input pertanian untuk menarik minat lebih ramai pekebun untuk
mengusahakan tanaman itu.
Dalam pada itu, LKTN berusaha untuk meningkatkan
pengeluaran biji benih kenaf untuk memenuhi permintaan pekebun. Pada tahun 2006, pengeluaran biji benih kenaf
hanya sekitar 7,000 kilogram, tetapi kini telah meningkat melebih 150,000
kilogram. Jumlah bijih benih yang
dikeluarkan dalam negara masih tidak dapat memenuhi permintaan pekebun, justeru
perlu diimport dari luar negara seperti China, Mexico, Australia dan Amerika
Syrikat.
Diharapkan tanaman kenaf dapat menjadi tambahan
kepada beberapa tanaman komoditi yang lain seperti getah, kelapa sawit dan
koko, sekali gus menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar.
Kerajaan menyediakan Pelan Induk Pembangunan Kenaf
(PIPK) bagi meningkatkan pendapatan para
petani menerusi tanaman komoditi baharu itu. Pelan induk yang dirangka oleh
Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara itu menggariskan hala tuju industri sehingga
2025.
Diharapkan dengan adanya PIPK, pembangunan
industri kenaf dapat dilaksanakan secara tersusun dan terancang agar industri
ini menjadi lebih kompetitif, berdaya maju dan mampan serta menyumbang kepada
nilai tambah yang lebih tinggi.
Pelan induk yang komprehensif untuk merancang
supaya tanaman kenaf benar-benar menjadi gantian kepada tanaman tembakau. Industri
kenaf yang tersusun dan terancang mampu meningkatkan pendapatan para petani.
Diharapkan
kenaf mampu menjadi satu industri yang berkembang pesat dan mengatasi sumbangan
tembakau kepada ekonomi petani pada masa dulu.
No comments:
Post a Comment