Sunday, 4 February 2018

URUS SECARA MATANG SOAL POLITIK

Tidak ada individu atau puak yang betul-betul sempurna. Kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan mempunyai kelemahan.  Sebab itu penting kita mengamalkan sikap terbuka dan bersedia menerima teguran daripada orang lain.

Janganlah kerana perbezaan pandangan membawa kita kepada pertelingkahan dan permusuhan.

Hasan al-Banna berpesan: "Kami bekerjasama dalam hal-hal yang kami sepakati, tetapi kami saling berlapang dada dan bermaafan dalam hal yang kami berselisih pendapat."

Amat malang sekali apabila perbezaan itu menyebabkan sesama Islam bermusuhan sesama sendiri. Umat Islam semakin lemah dan tidak berpeluang untuk bersaing dengan penganut agama lain yang semakin bergerak ke hadapan meninggalkan kita dalam segenap segi.

Ada negara Islam yang termasuk dalam kategori kaya dan mempunyai pengaruh di peringkat antara bangsa lebih bersikap mementingkan diri sendiri. Mereka tidak mahu mencampuri urusan sesama Islam yang ditindas disebabkan takut kepentingan sendiri terancam adalah antara punca kelemahan umat Islam. 

Kita tidak sepatutnya berpecah, tambah-tambah lagi ketika kita dalam keadaan lemah seperti sekarang. Kita kena bersatu dan permulaan sepatutnya bermula di negara kita. 

Orang Islam di negara kita mesti bersatu dan saling menjaga hubungan baik. Masalah perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menyebabkan kita bemusuhan sesama sendiri.   

Kelemahan umat Islam hari ini berpunca perpecahan sesama Islam adalah sesuatu hakikat yang tidak dapat dinafikan. Perkara ini perlu diberi perhatian agar tidak terus menjadi virus merosakkan kesyumulan Islam. 

Akibat keadaan itu, musuh Islam menjadi semakin kuat. Mereka mengambil kesempatan memberi tekanan dan melaga-lagakan puak-puak Islam. 

Jika ada negara atau individu bukan Islam yang mendakwa ingin mendamaikan pertelingkahan sesama puak Islam, itu hanya retorik politik dunia. Usaha itu sekadar hendak menunjukkan peranan yang dimainkan pihak tertentu, tetapi tidak mencapai apa-apa kejayaan.

Sebab itu, urusan politik umat Islam mesti diuruskan sendiri oleh orang Islam. Jika ada pertelikahan politik sesama puak Islam, mestilah ada di kalangan orang Islam sendiri menjadi pengantaraan untuk mencari perdamaian. 

No comments:

Post a Comment