Monday, 5 February 2018

INSIDEN KONFLIK DI PULAU LAYANG-LAYANG

Kawasan laut Kepulauan Spratly mempunyai potensi untuk merebak ke konflik yang lebih besar. Perebutan untuk menguasai sebahagian kelautan dan kepulauan di kawasan berkenaan melibatkan Malaysia, Taiwan, China, Vietnam, Brunie dan Filipina.

Insiden provokasi sering berlaku di kawasan Kepulauan Spratly (untuk kawasan Malaysia dipanggil Pulau Layang-layang), termasuk melibatkan aset milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan tentera negara asing.

Ini termasuklan kejadian pada akhir April 2010. Ia tidak dilapor dalam mana-mana media tempatan dalam negara tetapi menjadi tajuk utama dalam akhbar di China.

Laporan dari akhbar The Southern Daily (akhbar rasmi komunis China dalam bahasa Cina) bertarikh 1 Mei memberitahu, sekumpulan kapal perikanan China sedang menjalankan aktiviti pelayaran mereka di kepulauan Spratly yang dipanggil Nansha oleh pihak China.  

Berikut terjemahan berita disiarkan oleh akhbar The Southern Daily:  

"Beberapa hari sebelum 1 Mei, armada kapal nelayan China telah dihalang secara agresif oleh bot peronda milik Malaysia.  

Kapal-kapal nelayan China itu dengan diiringi oleh kapal agensi perikanan China sudah lama mencari ikan di kawasan yang sudah ditandai sebagai kawasan tradisi mereka. Bot peronda Malaysia dilihat bertindak agresif dan penuh provokasi apabila muncung meriam dihalakan kepada kapal yang paling hadapan di dalam armada kami.

Pada pukul 10.30 pagi, radio kapal nelayan China disergah dengan amaran oleh suara pegawai dari kapal perang Malaysia.  ”Chinese fishery fleet, we are Malaysian warships, I hope you will leave.” suara amaran dari kapal perang Malaysia.  

Armada perikanan China bagaimanapun telah mendapat arahan dari ibu pejabat marin untuk mengekalkan haluan dan menambah kelajuan. Tiba-tiba dari jauh kelihatan sebuah kapal perang yang lebih besar dan jelas kelihatan, ia membawa peluru berpandu.

Bot peronda tadi menghampiri bot bernombor 311, anak kapal China melihat kelasi kapal perang bot peronda itu sudah memakai topi besi dan meriam kapal itu dihalakan kepada kapal bernombor 300, suasana tiba-tiba menjadi tegang.  

Pada pukul 11.30 pagi, sebuah pesawat terbang Malaysia dilihat terbang mengelilingi armada perikanan China selama 15 minit. Kapal-kapal perang Malaysia seterusnya dilihat mengikuti armada kapal perikanan China sehingga pada pukul 22.30 malam dan keadaan ini berterusan sehingga pada pukul 3 pagi."

Kapal-kapal China terutama kapal perikanan laut dalam mereka menjalankan aktiviti mencari ikan beribu-ribu kilometer dari kawasan negara mereka. 

Pada tahun 2005, sebuah kapal perang Indonesia, KRI Tanjung Dalpele berjaya memintas empat buat kapal perikanan China yang mencari ikan secara haram di kawasan lautan Arafura yang terletak di antara Wilayah Papua dan Maluku.

Tiga kapal perikanan milik China itu melarikan diri tetapi sebuah lagi, MV Fu Yuan 123 berjaya ditahan. Sebelum itu, kapal perang Indonesia sudah pun memberi tembakan amaran sebanyak 3 das tetapi kapal perikanan China bertindak agresif dan melakukan manuver yang seakan-akan mahu melanggar KRI Tanjung Dalpele. 

Akibatnya kapal perang Indonesia itu terpaksa melepaskan tembakan dan membunuh salah seorang kelasi kapal perikanan China.

Tindakan kapal perang tersebut mengundang rasa tidak puas hati Beijing tetapi pemerintah tentera laut Indonesia di Surabaya menjelaskan, tembakan itu dibuat selepas semua prosedur atau “Rules of Engangement” dipatuhi.

Berbalik hubungan Malaysia dan China berkaitan isu di Kepulauan Spratly, ia semakin 'aman' hasil hubungan rapat antara kedua-dua negara.

No comments:

Post a Comment