Monday, 5 February 2018

PULAU LAYANG-LAYANG MILIK MALAYSIA


Pulau Layang-Layang yang terletak di Sabah merupakan sebahagian daripada gugusan Kepulauan Spratly. Kerajaan Malaysia telah memantau pulau ini dan menegaskan bahawa pulau ini adalah kepunyaan Malaysia kerana kedudukannya yang berada berhampiran dengan Sabah.

Pulau ini juga dituntut oleh negara China, Taiwan, Filipina, Brunie dan Vietnam. Pulau Layang-Layang terletak 162 batu nautika bersamaan 300 kilometer dari barat laut Kota Kinabalu.

Jarak itu termasuk dalam lingkungan 200 batu nautika Zon Eksklusif seperti yang dibenarkan menurut Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pulau ini timbul hampir 2000 meter dari dasar laut. Berukuran sepanjang 1.2 kilometer dan selebar 200 meter.

Pulau berbentuk bujur ini amat menarik dengan pelbagai pemandangan dasar laut yang mengagumkan, kepelbagaian batu karang dan ikan terumbu, termasuk haiwan laut dalam yang menjadi daya tarikan kepada para penyelam.

Kerajaan Malaysia mengisytiharkan terumbu-terumbu Pulau Layang-Layang itu terletak dalam perairan zon ekonomi eksklusif Malaysia pada 20 September 1979.

Kabinet Malaysia telah mengarahkan agar kajian dilakukan untuk mendirikan tugu dan penempatan di beberapa buah terumbu batu karang yang dalam wilayah negara.

Sengketa pemilikan Pulau Layang-Layang dan kepulauan Spratly ini tidak pernah surut. Kebijaksanaan pemerintah Malaysia hari ini berjaya memastikan kedaulatan wilayah Pulau Layang-Layang kekal milik kita.

Hasil kajian telah melihatkan pembinaan tugu pertama terumbu Layang-Layang atau Stesen Lima telah didirikan pada 21 Jun 1980.

Pada peringkat awal penugasan mengawal kedudukan itu diamanahkan kepada Pasukan Gerak Khas (Komando) Tentera Darat.

Pada tahun 1983 Malaysia meletakkan Pasukan Khas Laut-nya di Pulau Terumbu Layang-Layang. Pada tahun 1985, kemudahan ketenteraan ditambah sehingga membolehkannya menjadi markas untuk pasukan pertahanan udara.

Empat lagi terumbu dikawal oleh TLDM iaitu Terumbu Ubi, Terumbu Mantanani, Terumbu Siput dan Terumbu Peninjau.

Pada 1989 kerajaan telah memutuskan supaya kawasan terumbu ini dimajukan sebagai tempat perlancongan. Resort Avillion Layang-Layang (Dive Resort) menarik ramai kehadiran pelancong asing.  

Penerbangan ke Pulau Layang-Layang mengambil masa selama sejam dari Kota Kinabalu. 

Wilayah laut Pulau Layang-Layang mempunyai keindahan ekologi laut kerana terdapat perlbaai terumbu karang. Oleh itu, kawasan ini menjadi tarikan eko-pelancongan di Malaysia dan bahkan terkenal di dunia. 

Di lokasi tersebut, Malaysia membina pangkalan tentera di hujung timur Pulau Terumbu Layang-Layang sebagai pos induk di kawasan Kepulauan Spratly Selatan sekaligus dermaga untuk kepentingan pelancongan.

Ciri-ciri eko-pelancongan untuk menambah daya tarik pelancong asing dan sekaligus membina pendapat umum bahawa Pulau Terumbu Layang-Layang adalah milik Malaysia.

Ciri-ciri tentera ditujukan untuk kuasa penggentar bagi negara lain yang akan cuba mempersengketakan pemilikan pulau ini.

Pulau Layang-layang juga menjadi tempat perlindungan kepada beribu-ribu ekor burung yang bermigrasi.

No comments:

Post a Comment