Friday, 25 May 2018

SETIAP KEBAIKAN DILAKUKAN ADALAH DAKWAH

Setiap anggota masyarakat melaksanakan tugas berbeza-beza untuk mencapai matlamat hidup bersama. Setiap orang memberi sumbangan sama penting dalam membentuk masyarakat seimbang, saling memberi manfaat dan harmoni. Setiap tugas untuk tujuan kebaikan adalah dakwah yang perlu turut dilakukan oleh setiap orang.

Tidak ada orang dapat mengatakan dirinya yang terbaik berdasarkan bidang tugasnya, tetapi yang terbaik ialah sesiapa yang dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya dengan sempurna.

Apabila kita memahami dakwah dengan pengertian yang syumul ini, maka kita dapat menyebut golongan pendakwah dalam berbagai-bagai bidang profesion. 

Pemerintah dan hakim yang adil, doktor yang sentiasa ikhlas membantu pesakitnya, sasterawan yang berketerampilan, peniaga yang jujur dan sebagainya adalah pendakwah dan melakukan tugas-tugas dakwah.

Dakwah Islamiah ialah usaha-usaha yang teratur dan bersistematik dalam memperkenalkan kepada manusia hakikat Islam serta menyeru mereka menerima dan menghayatinya setiap amalan yang dikehendaki oleh agama. 

Mereka yang mengamalkan dan memperlihatkan sesuatu yang baik berkaitan Islam telah tergolong sebagai pendakwah yang menerangi kehidupannya dengan cahaya kebenaran untuk dituruti sama oleh orang ramai.

Menurut Sheikh Muhammad al-Ghazali lagi, dakwah bukanlah suatu seruan yang samar-samar, tetapi ia adalah satu program yang lengkap serta mengandungi semua pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi membolehkan mereka melihat dengan jelas matlamat sebenar dari kehidupan ini dan menemukan mereka jalan-jalan yang membolehkan mereka menerima petunjuk.

Memandangkan sifat-sifat kelemahan yang menguasai kehidupan manusia seperti kejahilan, kelalaian, penguasaan hawa nafsu dan kecenderungan melakukan kesalahan, maka usaha-usaha berterusan diperlukan untuk mengembalikan mereka ke jalan yang benar dan beristiqamah di atasnya.

Oleh itu seruan dakwah mengikut bidang dan kemampuan masing-masing adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam.  Ia boleh berlaku di mana-mana tanpa dihadkan di masjid atau pusat tarbiyah saja. 

Kewajipan menyeru kepada kebaikan dan mencegah perkara keburukan adalah bersifat sejagat dan menyeluruh kerana semua orang berhak mengetahui atau mendapat cahaya kebenaran disampaikan kepadanya. 

Soal sama ada dakwah itu diterima dan berkesan atau tidak, itu terserahlah kepada penerimaan orang yang didakwah itu.

Banyak perintah berdakwah dinyatakan dalam ayat al-Quran dan sunnah. Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 110 bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyeru kepada yang kebaikan dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.”

No comments:

Post a Comment