Friday, 25 May 2018

CABARAN GENTIR LAKSANA TUGAS DAKWAH

Menyedari kepentingan tugas berdakwah kepada Allah yang perlu dilaksanakan setiap muslim, Sayyid Qutub dalam kitab tafsirnya Di Bawah Bayangan Al-Quran menukilkan bahawa tugas dakwah adalah amanah cukup gentir dan besar tanggungjawabnya kerana seluruh ruang lingkup kehidupan manusia bergantung sepenuhnya kepada hasil gerak kerja dakwah yang akan menentukan hala tuju hidup manusia, maju dan mundurnya bangsa, jatuh dan bangunnya masyarakat itu dan juga bakal menentukan nasib kesudahan umat.

Niat melaksanakan tugas berdakwah mesti jelas dan memahami peranan yang dimainkan. Kebaikan yang disuruh dalam semua aspek kehidupan adalah satu dakwah.

Seorang pemimpin menyeru rakyat supaya gigih berusaha untuk meningkatkan taraf hidup dikira satu dakwah. Hakim yang menegakkan keadilan juga telah melaksanakan dakwahnya. Peniga yang jujur dalam urusan perniagaan mendapat keuntungan daripada perniagannya itu untuk kebaikan di dunia dan akhirat.

Justeru itu, perlu difahami bahawa berdakwah satu keperluan yang wajib dilakukan oleh setiap orang tanpa mengira kedudukannya. Sesuatu yang baik perlu disebarkan agar dapat dikongsikan kebaikan itu dengan orang lain.

Rasulullah yang menyuruh setiap orang Muslim saling menyampaikan pesan dan nasihat biarpun dalam kemampuan yang paling minimun.

Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ahmad, Bukhari dan Tirmizi menyampaikan mesej yang amat jelas tentang tugas melakukan kerja dakwah ini biarpun sedikit. Sabda Rasulullah bermaksud: “Sampaikanlah dariku walaupun hanya satu ayat.”

Jika berdakwah perlu dilakukan semua muslim, maka dakwah juga ditujukan kepada semua orang. Setiap orang tidak bersifat sempurna sepenuhnya dan tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan sama disedari atau tidak. Di sinilah wujudnya peranan dakwah yang memberi peringatan apa-apa kesalahan yang telah dilakukan itu. 

Kehidupan kita tidak akan sesat jika memahami istilah dakwah yang sebenarnya yang antara lain menekankan kepada amalan saling menasihati di antara satu sama lain.

Sesungguhnya, nasihat dan peringatan yang diucapkan sesama muslim memberi kebaikan kepada diri pengucapnya dan juga orang yang mendengarnya.

Sebab itu, pada setiap khutbah Jumaat khatib menyeru agar seluruh hadirin dan dirinya sendiri agar bertakwa kepada Allah.

Ingatan dan seruan itu membuktikan pentingnya ia diulang-ulang dan diperdengarkan kepada seluruh sidang Jumaat sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Peringatan dapat meningkatkan ketakwaan dan sentiasa memperbaharui azam untuk menjadi muslim sejat. Iman boleh diumpamakan seperti logam yang perlu digilapkan sepanjang masa agar ia sentiasa bersinar dan lebih tahan lama tidak dimakan karat.

No comments:

Post a Comment