Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan
kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan besar menumpaskan sindiket
pengedaran dadah yang aktif di Pasir Mas dan Tumpat.
Operasi yang dijalankan pada 27 Jun 2025 itu berjaya
membongkar taktik licik sindiket yang menyembunyikan dadah dalam timbunan najis
lembu, sekaligus membawa kepada rampasan lebih 118,000 biji pil kuda dengan
nilai rampasan dianggarkan RM5.04 juta. Kejayaan ini merupakan hasil risikan
dan siasatan rapi selama setahun oleh pihak berkuasa.
Selain rampasan dadah, tindakan susulan turut diambil di
bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, termasuk penyitaan aset
yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan haram tersebut.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli
Hassan, dalam satu kenyataan media pada 4 Julai 2025 menyifatkan kejayaan itu
sebagai satu langkah besar dalam memerangi ancaman dadah di negeri ini.
“Kerajaan Negeri Kelantan komited sepenuhnya dalam jihad
memerangi dadah dan akan terus bekerjasama erat dengan agensi keselamatan bagi
memastikan jenayah dadah dilumpuhkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kerjasama antara kerajaan
negeri dan pasukan keselamatan amat penting dalam usaha melindungi rakyat serta
menjamin masa depan negeri yang lebih selamat dan bermaruah.
“Semoga usaha ini terus diperkukuh demi memastikan Kelantan
bebas daripada ancaman dadah dan segala bentuk jenayah yang merosakkan,” tambah
beliau.
Kejayaan ini dilihat sebagai mesej tegas kepada pihak yang
cuba menjadikan negeri ini sebagai pusat transit atau edaran dadah, bahawa
tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil demi kesejahteraan rakyat
Kelantan.
Sumber - https://mediapoint.kelantan.co/2025/07/kelantan-hargai-kejayaan-pdrm-tumpaskan.html?fbclid=IwY2xjawLVqyZleHRuA2FlbQIxMQBicmlkETFhaXlDY0VMTHVLaEZ0clhNAR42ofRKR-rNOtk_HFykOCpw5qf-b3pdADoYtiL9RUhQPsyn5GX7f5nZzRfGMA_aem_2tPx-d6GP_3_JmxiNPjGCg
No comments:
Post a Comment