Nama Maktab Adabi terkenal pada 1980-an. Ia sekolah swasta
yang memberi peluang kepada pelajar yang tidak berjaya meneruskan pengajian ke
aliran perrdana sekolah menengah bawah Kementerian Pelajaran atau gagal ke
pusat pengajian tinggi.
Pada masa dahulu, pelajar yang tidak mencapai tahap
ditetapkan dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) ketika di tingkatan
tiga tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di tingkatan empat di sekolah
kerajaan.
Di sinilah peranan sekolah swasta untuk memberi peluang
pelajar mengulang SRP atau terus ke tingkatan empat. Begitu juga pelajar
mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan (STP).
Penubuhan Maktab Adabi dicetusan idea lepasan graduan
Universiti Malaya yang diketuai oleh Datuk Hasan Harun bersama beberapa
rakannya dalam usaha untuk memajukan ekonomi serta pendidikan orang Melayu,
khususnya di Kelantan.
Atas kesedaran ini, mereka menubuhkan Maktab Adabi yang
namanya diambil sempena tokoh pejuang nasionalisme Melayu iaitu Abdul Kadir
Adabi. Pembukaan sekolah pertama di Kota Bharu, Kelantan pada 1970 kemudian
membawa kepada pembukaan cawangannya di beberapa lokasi di Semenanjung.
Antara cawangan Maktab Adabi yang dibuka selepas itu ialah
Pasir Mas dan Pasir Puteh di Kelantan; Alor Setar (Kedah); Bukit Mertajam
(Pulau Pinang); Kuantan (Pahang) dan Muar.
Setelah ada banyak cawangan maka ditubuhkan Kumpulan
Maktab-Maktab Adabi Sdn Bhd (KMMASB) sebagai satu jenama sekolah swasta
terkenal pada ketika itu. KMMASB turut memperkenalkan Sekolah Adabi Gaya Pos
iaitu sejenis pembelajaran menerusi sistem pos bagi memberi peluang kepada
pelajar di Sabah dan Sarawak serta mereka yang berada di kawasan pedalaman
menikmati akses pendidikan ditawarkan.
Bagaimanapun, perubahan Dasar Pendidikan Negara,
liberalisasi Kementerian Pendidikan serta pembukaan lebih banyak kolej swasta,
kemahiran dan kewujudan perindustrian menyebabkan jumlah pelajar memasuki
Maktab Adabi seluruh negara semakin merosot.
Pelajar yang menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR)
yang menggantikan SRP boleh meneruskan pelajaran ke tingkatan empat biar apapun
status yang diperolehi. Mereka tidak perlu mengulang dan tidak perlu ke sekolah
swasta untuk meneruskan pelajaran.
Pelajar lepasan SPM dan STP juga mempunyai peluang lebih
besar untuk ke pusat pengajian tinggi, termasuk pusat latihan kemahiran.
Justeru tidak banyak lagi pelajar menyambung atau meneruskan pengajian di
sekolah swasta.
Serentak dengan itu, satu demi satu sekolah swasta terpaksa
ditutup, termasuk Maktab Adabi yang ada 10 cawangan.
Cawangan terakhir Maktab Adabi yang mampu bertahan ialah Maktab
Adabi Maharani (MAM) yang ditutup operasinya pada 31 Disember 2017 setelah 45
tahun berbakti dalam bidang pendidikan.
Penutupan MAM bukan sahaja disebabkan kurang pelajar, juga faktor tapak MAM yang dituntut kembali oleh pemiliknya. Institusi yang
terletak di Lorong Adabi, Jalan Khalidi, Muar ini merupakan antara institusi
pendidikan terakhir di bawah KMMASB yang ditutup sejak tahun 2000.
No comments:
Post a Comment