Friday, 22 May 2026

MENGAPA SUKAR HAPUSKAN IKAN BANDAR RAYA

 
Mengapa sukar hapuskan ikan bandar raya. Spesies ikan ini (pleco) yang paling invasif di Malaysia ialah di bawah genus Pterygoplichthys. Ikan ini telah mengancam hidupan asal yang terdapat di sungai, kolam atau paya.

Ikan bandar raya adalah hasil evolusi sejak berjuta-juta tahun dalam sungai tropika di Amerika Selatan yang penuh dengan tekanan pemangsaan. 

Sepanjang tempoh evolusi itu, keluarga ikan bandar raya iaitu armored catfish (keluarga Loricariidae) membangunkan pertahanan fizikal yang sangat berkesan. Tubuhnya diselaputi plat tulang keras seperti perisai dan lengkap dengan sirip berduri tajam. 

Pemangsa yang cuba menelan ikan bandaraya berisiko mencederakan mulut, tekak, malah sistem pencernaan mereka sendiri.

Selain itu, ikan bandar raya juga mempunyai gaya hidup yang membantu mengurangkan risiko ancaman pemangsa. Kebanyakannya aktif pada waktu malam, gemar bersembunyi di celah kayu dan batu, serta mampu hidup dalam air yang kurang oksigen.

Antara adaptasi paling penting ialah kebolehannya menggali lubang di tebing sungai atau tasik sebagai tempat perlindungan dan pembiakan.

Lubang ini bukan sekadar lubang biasa, ia boleh menjadi terowong sempit berlumpur yang sukar dimasuki pemangsa lain, induk jantan pula akan menjaga sarang dan mempertahankan telur daripada penceroboh.

Akibatnya, telur dan juvenil mendapat perlindungan tambahan yang meningkatkan kadar kelangsungan hidup mereka.

Akibat "kekuatan" yang dimiliki ikan bandar raya ini, pemangsa di ekosistem di Malaysia tidak mampu untuk menjadikannya sebagai mangsa.

Maka, satu cara yang tiada pilihan untuk menghapuskan ikan bandar raya ialah dengan menggunakan tenaga manusia, terutamanya dengan cara menjala dan memukat.


No comments:

Post a Comment