Saturday, 12 September 2026

KADET PALAPES DITAULIAHKAN LEFTENAN MUDA

 
Kadet PALAPES ditauliahkan Leftenan Muda. Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) Ke-44 Tahun 2026 telah berlangsung di Padang Kawad PALAPES, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada 12 September 2026.

Pentauliahan ini merupakan kemuncak kepada latihan ketenteraan yang dilalui oleh para Pegawai Kadet sepanjang tiga tahun. Pelbagai latihan yang menguji ketahanan fizikal dan mental, disiplin, kepimpinan serta semangat setiakawan telah membentuk mereka menjadi pegawai muda yang berketerampilan dan bersedia memikul amanah serta tanggungjawab demi agama, bangsa dan negara.

Seramai 1,885 Pegawai Kadet PALAPES daripada 20 UA telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda, sekali gus menandakan berakhirnya tempoh latihan dan bermulanya tanggungjawab baharu sebagai pegawai muda dalam pasukan simpanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Istiadat tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Acara dimulakan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis untuk memeriksa perbarisan yang diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan Mohamad Ammar Asyraf bin Azahar dari UniMAP, sebelum diteruskan dengan penyampaian Anugerah Pedang Kehormatan kepada Pegawai Kadet Terbaik bagi setiap perkhidmatan.

Istiadat kemudiannya diteruskan di Dewan Tuanku Canselor dengan pengurniaan watikah tauliah melibatkan 1,218 Pegawai Muda Rejimen Askar Wataniah (RAW), 389 Pegawai Muda Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan 278 Pegawai Muda Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).

Pentauliahan ini mencerminkan komitmen berterusan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memperkukuh pembangunan sumber manusia serta membentuk generasi muda yang mempunyai nilai kepimpinan, disiplin, jati diri dan kesediaan untuk berkhidmat demi kepentingan pertahanan negara.

Melalui PALAPES, berperanan penting dalam menyediakan landasan latihan ketenteraan kepada mahasiswa universiti awam, di samping memperkukuh kekuatan pasukan simpanan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.




No comments:

Post a Comment