Pengalaman menarik di puncak Bukit Larut.
Bukit Larut dahulunya dikenali sebagai Maxwell Hill yang terletak
di Taiping, Perak merupakan pusat peranginan tanah tinggi tertua di Malaysia. Ketinggiannya
kira-kira 1,250 meter dari aras laut.
Residen British pertama di Perak, J.W.W. Birch dipercayai
merupakan orang Inggeris pertama yang berjaya mendaki bukit ini pada tahun
1875.
Penolong Residen British di Larut, William Edward Maxwell
merupakan individu yang mula meneroka dan membangunkan kawasan ini pada tahun
1884 selepas dilantik menggantikan Birch yang mati dibunuh.
Nama Bukit Maxwell adalah diambil sempena nama William
Edward Maxwell. Nama Bukit Maxwell ditukar kepada nama Bukit Larut dilakukan
pada tahun 1979.
Bukit peranginan ini dibangunkan sebagai tempat beristirehat
dan lokasi percutian bagi pegawai-pegawai Inggeris bersama-sama isteri dan
keluarga mereka.
Suasana Bukit Larut yang digambarkan ketika itu ibarat
sebuah perkampungan Inggeris yang aktif menghasilkan hasil-hasil tenusu seperti
susu, 'butter', roti, sayur-sayuran dan pelbagai tanaman bunga-bungaan.
Pihak Inggeris juga pernah mencuba untuk menanam teh Assam
dengan membuka sebuah kawasan yang terletak di pertengahan jalan naik ke
puncak, yang dikenali sebagai Tea Garden.
Kawasan tersebut telah diratakan sebagai persediaan
menjadikan kawasan penanaman teh namun usaha ini tidak berjaya di atas
sebab-sebab tertentu. Sebuah bangunan juga dibina disitu untuk kegunaan
pegawai-pegawai pejabat kerajaan Inggeris.
Antara yang menarik di Puncak Bukit Larut ialah pemandangan matahari
terbit. Menawarkan panorama indah bandar Taiping dan kawasan sekitarnya,
terutamanya pemandangan matahari terbit yang menakjubkan terutamanya selepas
hujan malam.
Suhu di puncak boleh menurun antara 10 hingga 15 darjah
Celsius pada waktu malam, memberikan suasana yang sangat nyaman dan selesa.
Aktiviti kembara berjalan kaki (hiking) dan merentas hutan
(jungle trekking) menjadi destinasi kegemaran pengembara melalui laluan bertar
sejauh kira-kira 10 kilometer atau menggunakan denai hutan (jungle trail).
Turut memberi pengalaman menarik di puncak Bukit Larut ialah
Titi Gantung dan Menara Tinjau, selain taman bunga dan laluan pejalan kaki yang
sedap mata memandang dengan udara nyaman.
Di bahagian puncak terdapat beberapa banglo kolonial British
klasik yang mengekalkan seni bina bersejarah.
Di Bukit Larut persekitaran hutan tropika yang masih
terpelihara, sesuai untuk melihat pelbagai spesies burung dan tumbuhan.
Bagi penggemar alam semula jadi, Bukit Larut merupakan
tempat yang tenang, jauh dari hiruk pikuk dan kesibukan serta kaya dengan flora
dan fauna alam semula jadi.
Aktiviti memerhati burung juga semakin berkembang kerana
Bukit Larut dipercayai menjadi habitat kepada kira-kira 270 spesis burung
termasuk burung-burung tempatan dan burung-burung hijrah.
Hutan di sekitar Bukit Larut juga dihuni oleh tidak kurang
dari lima spesis burung enggang di antaranya Bushy-crested hornbill, Rhinoceros
hornbill, White-crowned hornbill, Writhed hornbill, Wrinkled hornbill dan
sebagainya.




No comments:
Post a Comment