Sunday, 25 October 2026

UBI KAYU BAKAR

 
Ubi kayu bakar. 

Satu cara untuk menikmati ubi kayu ialah dengan cara membakar. Ia dianggap cara tradisi dan semakin jarang dilakukan kerana kekangan kemudahan untuk membakar.

Dahulu, cara membakar menjadi pilihan terutama ketika berkebun atau membersihkan kawasan untuk menanam.

Kayu dan rumput akan dibakar untuk membersihkan kawasan. Mengambil keberadaan nyalaan api, dan ada pula ubi kayu yang biasa ditanam di kawasan itu, maka ubi kayu akan dibakar.

Ia akan dimakan untuk mengalas perut atau sebagai tambahan kepada bekal yang dibawa dari rumah.

Keperluan untuk membakar ubi kayu hanya perlukan api dan ubi kayu. Tidak perlu peralatan lain.

Letakkan ubi kayu di atas bara api yang panas (elakkan api yang marak supaya ubi tidak hangus di luar tapi mentah di dalam).

Cara yang lebih menjadi pilihan untuk masak sekata dan mengelak ubi kayu bertukar menjadi arang ialah dengan tanam dalam abu.

Abu dalam keadaan panas kerana masih ada api menyala atau bara di bahagian atas. Jadi, ubi kayu yang dimasukkan ke dalam abu akan masak dalam keadaan sekata dan tidak terbakar.

Memandangkan terlindung di dalam abu dan tidak dapat dilihat, dalam tempoh kira-kira 10 hingga 20 minit, boleh digali atau dikuis abu itu untuk melihatnya.

Untuk tahu sudah masak atau empuk, cucuk lidi atau sebatang kayu kecil ke dalam ubi kayu. Jika lidi tembus dengan mudah, ubi sudah masak.

Ubi kayu yang bersaiz besar tidak sesuai untuk dibakar kerana susah masak sepenuhnya. Jadi, pilihlah ubi kayu yang sederhana besar. 

Ubi kayu bakar memang sedap dimakan bersama air kopi pada waktu petang, sambil ambil angin petang di kebun mahupun di laman rumah. 

Ubi kayu bakar memang sedap, terutama makan ketika masih hangat. Ada aroma bau asap api dan sedikit rasa arang kulit dan bahagian paling luar yang terbakar. 

 

No comments:

Post a Comment