Ubi kayu mudah carok.
Maksud "carok" dalam dialek Kelantan adalah merujuk
kepada keadaan pokok berbatang lembut (seperti pokok betik atau sayuran) yang
mati akibat tunggul atau akarnya terendam atau digenangi air dalam tempoh yang
lama.
Ubi kayu sebenarnya antara pokok yang mudah carok atau carok
air. Kalau batas atau kawasan ubi kayu itu berada digenangi air kira-kira tiga
hari, ubi yang ada di dalam tanah akan menjadi carok.
Ubi kayu yang carok air akan rosak, menjadi buruk dan
lembut. Ubi itu tidak boleh dimakan lagi.
Cara untuk mengelak ubi kayu menjadi carok air adalah
mencabut atau menggali ubi itu sebelum digenangi air.
Atau, kalau sudah digenangi air, jangan sampai tiga hari.
Sebab iu, pada musim banjir, terdapat banyak ubi kayu yang dijual
di pasar tani, pasar pagi, tepi jalan dan sebagainya.
Memandangkan penawaran banyak ketika itu, harga ubi kayu
jatuh. Begitu pun, penanam ubi kayu tidak ada pilihan, melainkan mencabutnya
dan menjual dengan harga murah.
Itu lebih baik daripada membiarkan ubi kayu itu rosak di
dalam tanah.
Untuk mengelak kerugian, petani biasanya mula mencabut ubi
kayu apabila telah matang dan tidak melengah-lengahkan tindakan itu.
Sekitar bulan Oktober, kebanyakan ubi kayu yang ditanam
sudah matang setelah kira-kira enam hingga lapan bulan ditanam.
Tindakan mencabut awal itu dapat mengawal lambakan bekalan
kerana petani tidak terdesak untuk mencabut kesemuanya.
Mereka mencabut dan menjualnya secara biasa mengikut
permintaan atau jumlah yang laku dijual. Harga masih terkawal dan petani
mendapat untung selayaknya.
Jika kaedah itu dilakukan, biasanya bekalan ubi kayu yang ditanam
akan habis sebelum berlaku banjir, melainkan banjir berlaku awal daripada yang
dijangkakan.

No comments:
Post a Comment