Sunday, 25 October 2026

HUJAN ADALAH RAHMAT

 
Hujan adalah rahmat.

Dalam Islam, hujan merupakan tanda kasih sayang, rezeki, dan rahmat daripada Allah SWT yang menghidupkan bumi serta memberi manfaat kepada seluruh makhluk. 

Jadi, hujan bukan cuaca buruk, tetapi rahmat daripada Allah SWT yang mendatangkan banyak kebaikan kepada manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan seluruh isi alam ini.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya, Ia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir atau ribut) dan memberi harapan (akan turunnya hujan), dan Dia menurunkan hujan dari langit, lalu dihidupkan-Nya bumi sesudah matinya dengan air itu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir." - (Surah Ar-Rum, ayat 24).

Firman Allah SWT bermaksud:"Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan Dia menyebarkan rahmat-Nya. Dan Dialah Pelindung (yang melimpahkan kebaikan), lagi Maha Terpuji." - (Surah Asy-Syura, ayat 28)...

Walaupun hujan adalah rahmat, ia juga boleh menjadi ujian atau musibah jika turun terlalu lebat. Oleh itu, umat Islam dituntut berdoa agar ia membawa keberkatan dan dijauhkan daripada sebarang bala bencana seperti banjir.

Sabda Rasulullah SAW bemaksud: "Ya Allah Kau jadikanlah curahan hujan ini sebagai curahan yang bermanfaat.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

No comments:

Post a Comment