Sunday, 25 October 2026

MAT KILAU KELUAR MENDEDAHKAN IDENTITI

 
Mat Kilau keluar mendedahkan identiti.

Mat Kilau seperti laporan akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, telah meninggal dunia akiat kehilangan banyak darah.

Peristiwa itu berlaku ketika Mat Kilau cuba melawan untuk melepaskan diri daripada ditangkap oleh Inggeris ketika dia bersembunyi di Kota Bharu, Kelantan.

Berita kematian itu diterima dan dipercayai oleh pihak Inggeris dan orang ramai.

Hakikat sebenarnya, Mat Kilau tidak meninggal seperti disangkakan. Biarpun telah dilaporan "mati", Mat Kilau perlu merahsiakan identiti sebenar dirinya dan hidup berpindah-randah sebelum mengambil keputusan menetap di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang, semenjak 1930.

Pada bulan Disember 1969, Mat Kilau yang ketika itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 bernama Mohamad bin Ibrahim, keluar daripada persembunyian dan memperkenalkan dirinya yang sebenar. 

Untuk mengelakkan dirinya menjadi tumpuan ramai, maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya.

Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau, maka Mat Kilau dibawa ke kampung asalnya iaitu Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut. 

Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah membaca Quran dan kemudiannya mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.

Pengisytiharan ini telah menggemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan Jawatankuasa Penyiasat Munchul-nya Mat Kilau yang dibentuk pada 8 Januari 1970. 

Beberapa orang telah ditemu ramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, Tan Sri Yahaya bin Mohd Seth.

Pada 24 April 1970, Mat Kilau telah memberikan kebenaran kepada pihak Utusan Melayu untuk menerbitkan kitab kepunyaan beliau, Kitab Mat Kilau, sebuah kitab kompilasi doa dan amalan mistik seperti ilmu kebal dan penguat diri.

Berdasarkan buku itu, kitab ini ditulis beliau, dan diserahkan bagi jagaan kerabat diraja Kelantan ketika persembunyiannya sebelum diserahkan kepada Utusan Melayu bagi penerbitan kepada masyarakat awam.

Orang terakhir yang diamanahkan menyimpan kitab ini ialah Wan Alim bin Wan Hasan, murid Menteri Besar Kelantan, Nik Mahmud Nik Ismail.

Pada hari Ahad 16 Ogos kira-kira pukul 6.45 pagi, setelah 10 hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia di rumahnya di Batu Lima, Paya Besar.   

Mat Kilau ketika itu dipercayai berusia 122 tahun, namun menurut buku Laporan Jawatankuasa Penyiasatan Mat Kilau, dia meninggal ketika berusia 104 tahun. 

Jenazah Mat Kilau dikebumikan di Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang.



No comments:

Post a Comment