Hidangan kegemaran ramai masyarakat
Malaysia selain daripada nasi ialah mi. Mi di Malaysia boleh didapati di dalam
pelbagai jenis sebagai contoh mi kuning, mihun, mi wantan dan pelbagai nama
lain. Sekarang ini, satu lagi jenis mi yang semakin terkenal ialah mi tarik.
Mi tarik atau lamian ialah sejenis mi
lembut diperbuat daripada gandum. Cara membuatnya ialah dengan menarik dan
meregang serta melipat doh tepung hingga dapat dileraikan menjadi utasan-utasan
panjang.
Mi tarik merupakan antara masakan istimewa
masyarakat Hui yang hidup di barat laut Tanah Besar China, terutama di
Lanzhou di mana masakan ini mengutamakan bahan-bahan halal kerana majoriti
penduduk di situ beragama Islam.
Mi ini pertama kali dicatatkan pembuatannya
dalam Songshi Yangsheng Bu yang dikarang oleh Song Xu pada tahun 1504.
Pada awal kemunculannya iaitu pada zaman pemerintahan Dinasti Qing, restoran mi
tarik daging lembu yang pertama dibuka di Lanzhou, hanya melayan pelanggan
golongan birokrat dan peniaga kaya.
Mi tarik mempunyai pelbagai jenis dan
bentuk merangkumi halus, nipis, lebar dan sederhana besar dan diperbuat
daripada tepung yang diadun dengan bahan mengikut kualiti tersendiri.
Mi ini sering dimasak dalam dua cara, sama
ada dalam sup sebagai mi sup atau digoreng berkuah yang disebut mi goreng.
Mi tarik yang digunakan untuk menu goreng agak besar atau kasar berbanding mi yang
disedikan untuk masakan sup.
Cara membuat mi tarik memang menggunakan
teknik menarik sesuai dengan namanya. Doh atau adunan tepung diuli dan diregang
lipat untuk menyelarikan guleten sebelum dibahagikan kepada bahagian yang
cukup besar.
Segumpal dari bahagian ini ditarik jarak
sedepa membentuk suatu gelung sebelum ditarik dari satu hujung dipegang
pada gelung tersebut dengan hujung doh. Proses ini dilakukan secara berulang
kali sehingga mencapai ketebalan diingini sambil terurai kepada utasan lebih
banyak dan panjang.
Mi tarik daging lembu Lanzhou
diinspirasikan oleh etnik Muslim Ma Baozi pada 1915. Mi tarik Lanzhou daging menjadi simbol
bandar Lanzhou malah terkenal bukan sahaja di China tetapi di luar negara.
Di Malaysia kini terdapat berpuluh-puluh cawangan
restoran mi tarik yang menggunakan jenama Mee Tarik Warisan Asli. Cawanganya
terdapat di bandar-bandar besar dan biasanya terletak di dalam mall menjadikan
ia dianggap hidangan istimewa sesuai dengan cita rasa dan lokasi operasinya.