Wednesday, 29 November 2017

KENAF GANTI TEMBAKAU

Penanaman tembakau memberi keuntungan besar kepada petani. Namun pada masa sama, tanaman tembakau mudah berdepan risiko kerosakan apabila batas ditengelami air kira-kira 12 jam menyebabkan kerugian modal membajak, benih, baja dan tenaga sehingga menyebabkan petani hilang pendapatan dan menanggung hutang.

Petani sebenarnya bersedia berpindah kepada tanaman lain sekiranya ada tanaman alternatif yang setara dari segi pasaran, harga, pendapatan, kestabilan dan jumlah tanaman. Ada petani cuba beralih kepada tanaman lain seperti ubi kayu, rosselle, labu dan penternakan, namum mereka akhirnya terpaksa kembali menanam tembakau setelah gagal mendapat pulangan lumayan berbanding tanaman tembakau.

Setelah membuat kajian selama beberapa tahun, tanaman yang dikenalpasti sesuai ditanam untuk menggantikan tembakau ialah kenaf. Kenaf atau nama saintifiknya Hibiscus cannabinus L. yang merupakan tanaman jangka pendek yang berasal dari Afrika (barat Sudan). Ia merupakan sejenis pokok berserat bukan berkayu.

Kenaf tergolong dalam famili Malvaceae dan berada di bawah genus Hibiscus yang mempunyai persamaan dengan tanaman bendi dan juga kapas. Ada ditanam secara skala kecil dan komersial di China, Myanmar, India, Bangladesh dan Thailand. Ia mengandungi 30% fiber (serat) pada bahagian bast (kulit luar) dan 70% empulur daripada bahagian dalam batang. Ketinggian pokok mencapai 2m hingga 5m. Bagi pengeluaran fiber penuaian adalah antara 75 hingga 120 hari selepas penanaman. Penuaian bagi pengeluaran benih adalah 150 hari selepas penanaman.

Lembaga Tembakau Negara (LTN) yang berperanan memajukan industri tembakau telah ditukarkan kepada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) sebagai badan berkanun di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC). Ia telah ditubuhkan dengan berkuatkuasanya Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 pada 1 April 2010 bagi menggantikan LTN.

LKTN diberi tanggungjawab untuk membangunkan tanaman kenaf sebagai tanaman komoditi baru dan juga sebagai tanaman alternatif kepada penanam tembakau selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan tanaman kenaf sebagai tanaman 'Sumber Pertumbuhan Baru' di Malaysia.

Namun, kerajaan tidak berhasrat menghapuskan terus penanaman tembakau dalam negara ini kerana yakin kajian mendalam perlu dilakukan bagi melihat potensi komoditi tersebut dalam bidang lain dan bukan hanya tertumpu terhadap pembuatan rokok.

Potensi daun tembakau sebagai bahan dalam bidang farmaseutikal dan kesihatan adalah satu alternatif yang sedang dikenal pasti di peringkat antarabangsa.

Proses pengurangan pengeluaran tembakau yang dihasilkan dalam negara ini bermula sejak beberapa tahun lalu iaitu daripada lebih enam juta kilogram pada 2009 kepada 5.5 juta kilogram (2010) dan 4.5 juta kilogram tahun 2012.

Begitu juga bilangan petani yang menumpukan penanaman tembakau juga semakin susut iaitu daripada lebih 4,000 orang pada tahun 2009 kepada hanya 2,300 orang pada tahun 2012. .

Perkembangan penanaman kenaf memang menggalakkan. Bermula tahun 2004 dengan hanya berkeluasan 0.4 hektar dengan seorang penanam, bertambah mendadak sehingga 778 hektar pada tahun 2010 melibatkan 409 penanam. Pada tahun 2008, Kementerian Perusahan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengumumkan bahawa tanaman kenaf bakal menjadi sumber tanaman baru kepada penduduk luar bandar, khususnya di kawasan tanah yang sesuai dengan tanaman berkenaan.

Pada tahun 2013, LKTN telah diberi peruntukan sebanyak RM14 juta khusus untuk membantu penanam kenaf seluruh negara dan menyasarkan penanaman seluas 2,500 hektar melibatkan 2,000 penanam di lapan negari di seluruh negara.

Sehingga Julai 2013, seluas 1,117 hektar kawasan telah ditanam dengan komoditi itu di seluruh negara dan sehubungan itu bantuan sejumlah RM2.6 juta telah disalurkan kepada 683 pekebun.

Tumpuan LKTN bukan saja melibatkan bekas penanam tembakau berhijrah bertukar kepada tanaman kenaf, tetapi mana-mana individu yang berhasrat menceburi penanaman komoditi yang mempunyai masa depan cerah dalam industri ini.

Penanaman kenaf ini melibatkan negeri Pahang dengan keluasan 1,000 hektar, Kelantan (600 hektar), Terengganu (400 hektar), Perak (200 hektar), Johor (180 hektar), Selangor (70 hektar), manakala Negeri Sembilan dan Melaka seluas 50 hektar.     

LKTN menyediakan bantuan sebanyak RM2,385 sehektar bagi penyediaan tanah, benih dan input pertanian untuk  menarik minat lebih ramai pekebun untuk mengusahakan tanaman itu.

Dalam pada itu, LKTN berusaha untuk meningkatkan pengeluaran biji benih kenaf untuk memenuhi permintaan pekebun. Pada tahun 2006, pengeluaran biji benih kenaf hanya sekitar 7,000 kilogram, tetapi kini telah meningkat melebih 150,000 kilogram. Jumlah bijih benih yang dikeluarkan dalam negara masih tidak dapat memenuhi permintaan pekebun, justeru perlu diimport dari luar negara seperti China, Mexico, Australia dan Amerika Syrikat.

Diharapkan tanaman kenaf dapat menjadi tambahan kepada beberapa tanaman komoditi yang lain seperti getah, kelapa sawit dan koko, sekali gus menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar.      
Kerajaan menyediakan Pelan Induk Pembangunan Kenaf (PIPK) bagi meningkatkan pendapatan para petani menerusi tanaman komoditi baharu itu. Pelan induk yang dirangka oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara itu menggariskan hala tuju industri sehingga 2025.

Diharapkan dengan adanya PIPK, pembangunan industri kenaf dapat dilaksanakan secara tersusun dan terancang agar industri ini menjadi lebih kompetitif, berdaya maju dan mampan serta menyumbang kepada nilai tambah yang lebih tinggi.

Pelan induk yang komprehensif untuk merancang supaya tanaman kenaf benar-benar menjadi gantian kepada tanaman tembakau. Industri kenaf yang tersusun dan terancang mampu meningkatkan pendapatan para petani. Diharapkan kenaf mampu menjadi satu industri yang berkembang pesat dan mengatasi sumbangan tembakau kepada ekonomi petani pada masa dulu.

No comments:

Post a Comment