Wednesday 21 February 2018

PANDANGAN ISLAM TERHADAP BUKAN ISLAM


Ajaran Islam amat mengutamakan hubungan baik sesama manusia. Sebarang bentuk permusuhan ditegah dilakukan kerana ia bertentangan dengan semangat persaudaraan yang ditekankan di dalam Islam. 

Hubungan erat yang perlu dibina bukan terhad sesama Islam saja. Islam turut mengarahkan agar penganutnya menghormati penganut agama lain supaya terbentuk hubungan yang baik.      

Penganut Islam terpaksa berdepan cabaran yang besar apabila hidup di tengah-tengah masyarakat yang berbilang kaum, etnik, pegangan fahaman agama dan adat resam. Konflik kepentingan agama sering dicetuskan oleh pihak yang bertanggungjawab.

Ketika Islam mula disebarkan di kota Makkah, cabaran utama ialah berdepan situasi masyarakat yang berbangga dengan keturunan dan mengamalkan pelbagai adat resam. Keadaan ini berjaya diubah apabila Islam menguasai sepenuhnya kota Makkah selepas pembukaan kota Makkah. 

Konsep penerimaan Islam terhadap masyarakat majmuk membuktikan Islam tidak bersifat jumud. Ajaran Islam bersifat universal dan lengkap yang sesuai diamalkan dalam masyarakat berbilang agama. 

Penganut Islam bersedia berkongsi kehidupan dengan penganut agama lain. Ini sama ada penganut Islam sebagai majoriti maupun minoriti dalam sesuatu masyarakat. Biarpun sebagai majoriti, Islam menghormati hak agama minoriti.  Kekuasaan yang dimiliki tidak digunakan untuk menindas pihak minoriti.

Islam menghormati fitrah manusia yang berbilang bangsa dan agama anutan. Asal manusia tetap satu daripada Nabi Adam. Jadi, menghormati sesama manusia adalah manifestasi kepada bahawa kita adalah berasal keturunan yang sama.  

Lahirnya manusia yang berbagai bangsa dan agama ada hikmahnya. Allah mencipta sedemikian supaya manusia saling mengenali antara sama lain.

Firman Allah bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami mencipta kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal mengenali antara satu sama lain.” (Surah al-Hujurat: 13).

Orang bukan Islam dalam negara Islam perlu diberi kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing. Orang Islam ditegah sama sekali menghina atau merosakkan sesuatu yang berkaitan dengan agama lain.

Orang bukan Islam yang sedia tunduk kepada pemerintah Islam adalah haram diperangi atau dilakukan perbuatan khianat terhadap mereka. Apa yang mereka nikmati juga hendaklah diteruskan tanpa sekatan. 

Firman Allah bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8).

No comments:

Post a Comment