Sunday 27 May 2018

HUKUM BERHIAS BAJU BAHARU PADA HARI RAYA

Hari raya Aidilfitri tidak dapat dipisahkan dengan baju raya baharu. Penyediaan baju raya telah dibuat seawal beberapa bulan sebelum Ramadan lagi. Manakala gedung beli-belah diserbu apabila semakin hampir hari raya untuk membeli baju raya baru yang belum ada. Ibu bapa sanggup berhutang semata-mata untuk membeli baju baru untuk anak-anak.

Apakah sebenarnya hukum memakai baju baru pada hari raya? Adakah amalan itu tuntutan agama atau sekadar keinginan nafsu?

Para ulama berpendapat harus untuk memakai pakaian baru dan berhias pada hari raya, mahupun pada hari-hari lain. Amalan itu bersesuaian dengan tuntutan naluri manusia dan tiada nas tegahan untuk melakukan sedemikian.

Abdullah bin Umar berkata, “Umar mengambil sebuah jubah daripada sutera yang dijual di pasar, lalu dia mendatangi Rasulullah, kemudian berkata, ‘Wahai Rasulullah, belilah jubah ini dan berhiaslah dengannya untuk hari raya dan menyambut tamu.’ Maka Rasulullah bersabda, ‘Sesungguhnya ini adalah pakaian orang kafir.” Imam Bukhari meletakkan hadis itu dengan judul “Bab Tentang Dua Hari Raya dan Berhias di Dalamnya”.

Hal ini menunjukkan bahawa berhias pada majlis tertentu sudah berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Tentang kata-kata Rasulullah “ini adalah pakaian orang kafir” adalah tegahan orang lelaki memakai sutera dan bukannya menegah untuk berhias.

Para sahabat juga berhias dan kelihatan cantik pada setiap menyambut hari raya sama ada Aidilfitri mahupun Aidiladha.

Namun perlu difahami, berhias untuk kelihatan cantik tidak semestinya memakai baju baharu dan mahal. Maksud berhias sudah tertunai dengan memakai pakaian terbaik yang dimiliki. Tidak kisahlah sudah berapa tahun baju itu dipakai.

Dimaksudkan berhias pada hari raya adalah pada satu Syawal dan bukannya sepanjang bulan Syawal. Kalaupun ingin beli baju raya baru, cukuplah sepasang sahaja.

Sesiapa ingin membeli lebih, jangan kaitkan itu suruhan agama kononnya Islam menyuruh berpakaian cantik semasa sambutan hari raya.

No comments:

Post a Comment