Thursday 2 January 2020

KACANG BOTOL MUDAH DITANAM

Kacang botor (Psophocarpus tetragonolobus) atau kacang kelisa adalah sayuran kekacang yang menjadi kegemaran orang ramai untuk dijadikan sayur dan ulam yang enak dimakan.

Sebab itu, didapati ramai menanam kacang botor di kawasan keliling rumah. Kacang botor atau kacang botol atau kecipir adalah pokok memanjat secara melilit sepanjang di antara tiga dan lima meter, akarnya banyak dan tumbuh pada permukaan tanah. Ia memerlukan kayu pancang atau junjung untuk memanjat.

Cara menanam mudah iaitu dengan membubuh benih di dalam lubang sedalam kira-kira 2 centimeter. Biasanya biji benih akan bercambah antara 10 dan 14 hari selepas penanaman.

Lazimnya aktiviti pungutan hasil dilakukan atau dikutip antara 10 dan 12 minggu selepas ditanam. Pilih buah yang hijau serta rapuh. Kutipan hasil dibuat dua atau tiga hari sekali untuk mengelakkan buah menjadi tua. Buah yang tua akan berserabut dan tidak sedap dimakan. 

Khasiat kacang botor telah banyak diperkatakan. Pokok kacang botor amat berguna kerana hampir semua bahagian tumbuhan ini boleh dimakan seperti bahagian lenggai (buah) mudanya yang selalu digunakan sebagai sayur atau ulam merupakan bahagian tumbuhan yang paling banyak dimakan, dan boleh dituai dalam tempoh 2-3 bulan selepas penanaman.

Buah yang muda dan lebut dijadikan sayur mentah, digoreng, dibuat kerabu atau jenis makanan lain dan ia mempunyai rasa yang hampir sama dengan pucuk asparagus. Bunga sering digunakan untuk mewarnakan beras dan pastri.

Daun muda boleh dimasak sebagai sayur daun dan rasanya hampir serupa dengan daun bayam. Ubinya yang mempunyai perisa seperti kacang tanah boleh digunakan sebagai sayur berubi dan ia hampir serupa dengan ubi kentang. Akar pokok ini lebih kaya protein berbanding ubi kentang.

Biji yang masak telah diiktiraf sebagai makanan yang berkhasiat kerana mengandungi banyak protein seperti kacang soya. Biji kacang botor boleh diproses seperti kacang soya iaitu dijadikan pelbagai produk yang boleh dimakan atau diminum. 

Daun kacang botor boleh dibuat teh dan sesuai digunakan sebagai ubat pencuci mata yang bengkak serta bisul dan kudis. Daun ditumbuk lumat dan ditampa pada bisul. 

Daun dan biji kacang botor dimasak dan dimakan untuk mengubati penyakit kulit seperti bisul dan ulser. Manakala akar direbus dan diminum untuk merawat penyakit vertigo.

2 comments:

  1. asaalm nak tanya, pokok botor saya ditanam dalam (2 pokok/ke batang) pasu dah dekat 3 bulan,daun lebat tapi tak berbuah . boleh bagi tolong tau apa sebab nya

    ReplyDelete