Thursday 23 December 2021

Telah diusahakan bantuan terbaik untuk mangsa banjir

Banjir adalah bencana. Apa-apa juga jenis bencana bukan boleh dikawal. Ia berlaku dengan ketentuan Allah. Kita tidak mampu melawan apa yang telah ditetapkan.

Apa yang boleh kita lakukan ialah berusaha untuk kesan bencana tidak bertambah buruk atau sehingga tidak terkawal. Allah memberi kita akal dan keupayaan untuk bertindak mendepani apa juga ujian.

Ingatlah, Firman Allah SWT yang bermaksud: "Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah Allah memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut tidak akan diterima dan harapan akan dikabulkan. Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik." (Surah Al A'raaf, ayat 56)

Dalam hal ini, di negara kita, apabila ada berlaku bencana, bantuan menyelamat dan segala bentuk tindakan dilakukan dengan secepat mungkin dan mematuhi tata cara operasi menyelamat. 

Pihak penyelamat dengan sedaya kemampuan berusaha melakukan yang terbaik, bahkan kadangkala membahayakan nyawa sendiri. Bab soal letih dan tidak sempat makan tidak lagi dipedulikan. Selagi mampu bergerak, mereka terus melakukan tugas dengan penuh dedikasi. 

Namun, sudah namanya bencana, banyak perkara yang dilakukan di luar kebiasaan. Lalu, ia tidak memuaskan hati semua pihak, biarpun pihak berkenaan telah mencuba melakukan yang terbaik.

Justeru, banyak tulisan di media sosial menyalahkan pihak-pihak tertentu punca bantuan lambat sampai di kawasan bencana banjir di Selangor.

Tidak perlulah menjadi keyboard warrior menyalahkan sana dan sini. Sekarang bukan masa untuk menunding jari. Nasib mangsa banjir tidak terbela atau menjadi lebih baik dengan salah menyalah.

Ya, tidak dinafikan ada kekurangan atau ‘kesalahan’ yang berlaku. Tetapi, perkara itu boleh dibincangkan dalam bedah siasat selepas ini. Ketika itu, buatlah cadangan dan apa sahaja yang ingin diluahkan.

Sekarang ini adalah lebih baik dan jauh lebih bermanfaat jika dapat turut turun bersama sekurang-kurangnya membantu operasi mencuci dan membersihkan rumah-rumah mangsa banjir.

Bagi yang ada sedikit kelebihan kewangan boleh menyumbang dalam pelbagai bentuk termasuk peralatan asas seperti tilam, bantal, selimut, peralatan dapur, air mineral, makanan asas dan lain-lain.

Realitinya terlalu ramai mangsa yang terjejas dan hakikatnya tiada siapa boleh dakwa mereka sahaja yang mampu membantu semua.

Yang penting jangan banyak menuding jari tapi terus turun dan buat.

Ingatlah pesan Nabi SAW bagi yang sentiasa membantu meringankan beban saudaranya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dan Allah sentiasa menolong hamba-Nya yang mana hamba-Nya itu sentiasa menolong saudaranya yang lain” (Hadis riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment