Tuesday 15 October 2024

SISTEM ALAT TIMBANG MASA DAHULU

 
Sekarang sukatan berat menggunakan unit gram. Dahulu, sukatan berat menggunakan unit kati. Ada alat khusus digunakan untuk menimbang menggunakan unit kati.

Nama unit timbang lain pada masa dahulu ialah tahil dan pikul, selain kati. Berat 16 tahil sama dengan satu kati. Manakala berat 100 kati pula dipanggil satu pikul. Berat satu pikul lebih kurang bersamaan dengan 62.5 kilogram.  

Unit berat koyan pula adalah ukuran berat biji-bijian yang bersamaan dengan kira-kira 40 pikul.

Untuk menimbang, alat yang dipanggil dacing digunakan. Dacing terdiri daripada batang yang berskala atau bersenggat, batu penimbang serta tempat meletak barang.

Barang diletakkan di tempat barang. Anak atau buah dacing yang ditetapkan beratnya akan diletak pada sisi lain yang akan dilaraskan pada batang yang bersekala sehingga lidah dacing (jarum pada dacing) menunjukkan keseimbangan apabila lidah atas bertemu dengan lidah bawah.

Sejak zaman dahulu masyarakat sudah mula menggunakan pelbagai jenis peralatan timbang dan sukat dalam aktiviti harian mereka. 

Sistem timbang pada zaman dahulu masyarakat telah lama digunakan. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan tarikh sebenar bila kaedah tersebut mula digunakan di alam Melayu. 

Semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka, sistem timbang seperti kati, tahil dan bahara digunakan.

Ketika itu, sistem kati dan tahil digunakan untuk menimbang emas, perak, bahan wangian, kapur dan batu permata. Manakala, sistem bahara pula digunakan untuk menimbang rempah, lada, bunga cengkih dan jagung.

Genarasi hari ini mungkin sudah tidak mengetahui alatan penimbang seperti itu. Kalau mendengarnya pun tidak pernah, apatah lagi melihatnya dan menggunakannya.  

Apabila sistem metrik secara rasmi bermula pada 1 Januari 1982, semua timbangan menggunakan unit gram. Maka rakyat diperkenalkan dengan istilah miligram, kilogram dan tan. 

Maka itu hilanglah unit timbangan pikul, koyan, tahil, kati, auns dan paun yang biasa digunakan sebelum itu. Satu gram bersamaan dengan 0.03 auns atau 0.002 paun atau 0.001 kati. Satu kati lebih kurang 600 gram.

Penggunaan alat timbang dan sukat tradisional ini sememangnya sinonim dengan masyarakat dahulu terutama untuk aktiviti harian dan perniagaan mereka.

Penggunaan kaedah timbang sukat adalah dari sistem imperal tempatan kemudian berubah kepada sistem metrik yang lebih tepat serta seragam mengikut piawaian sejagat menggunakan sistem unit antarabangsa (SI) bermula 1 Januari 1982.





No comments:

Post a Comment