Thursday 19 December 2019

PAKKO BINATANG MISTERI DI KELANTAN

Bintang ini masih menjadi misteri. Apa sebenar nama binatang ini? Sejak dari dahulu sehingga sekarang ambo panggil binatang ni 'pakko', 'pokko', 'pokke' atau 'pakke'.

Binatang ini menjadi teka teki jenaka, binatang apa yang hanya ada jantan sahaja? Jawapannya ialah pakko kerana tidak ada mokko. 'Pak' merujuk kepada jantina jantan.

Nama pakko terkenal di Kelantan, biarpun mungkin ada orang tidak pernah melihatnya. Ada tajuk dikir barat yang menggunakan nama pakko.

Malah ada pepatah atau peribahasa yang menggunakan nama pakko iaitu 'pakko angguk', merujuk kepada orang yang mengikut atau setuju dengan orang lain, biarpun perkara itu salah.

Ada orang kata binatang ini dipanggil sesumpah. Tetapi agak berbeza dengan kenyataan sifat seumpah yang dikatakan berwarna kehijauan dan boleh bertukar warna mengikut persekitaran untuk penyamaran.

Dari segi bentuk tubuh dan kulit sesumpah dan pakko memang hampir sama. Dalam bahasa Malaysia standard, sesumpah dikenali bengkarung atau mengkarung.

Sekali lagi terdapat perbezaan. Mengkarung dan pakko memang tidak sama. Apa yang ambo kenal, mengkarung kulitnya agak licin dan tubuh lebih leper berbanding pakko yang lebih tinggi. Mengkarung tiada sisik di atas kepala dan belakangnya.

Ada juga orang mengatakan pakko ini cicik kubing. Satu lagi perbezaan daripada apa yang ambo kenal cicik kubing. Cicak kubing juga seakan-akan pakko tetapi lebih kecil dan ada 'sayap' yang membolehkan ia mengawal kejatuhan ketika melompat. Kulit cicak kubing yang berupa seperti selaput bersambung dari kaki ke badan.

Jadi, apa sebenarnya nama pakko? Entahlah ada juga yang panggil tengkoi.

Apapun nama sebenar pakko, spesis binatang yang gemar makan serangga seperti semut, anai-anai, lalat, ulat dan belalang sesuai dijadikan penjaga kepada kebun sayur mahupun tanaman lain. Pakko dapat dijadikan pengawal semulajadi kepada perosak tanaman.

Sebenarnya pakko ini agak liar atau sukar untuk ditangkap walaupun nampak jinak. Pergerakkannya panas dan mudah mengubah haluan menyebabkan sukar ditangkap. Namun, binatang yang kerap berjaya menangkap pakko ialah kucing. 

No comments:

Post a Comment