Wednesday, 29 November 2017

JUAL BELI MAKANAN


Islam menetapkan kaedah jual beli. Perkara pertama ialah tidak menjual barang yang diharamkan.  Sabda Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mengharamkan jual minuman keras, bangkai, babi dan berhala.(HR Bukhari dan Muslim)”

Begitu juga ditegah menjual dengan dua harga. Rasulullah SAW melarang dua jual beli dalam satu akad jual beli (Hadis riwayat Ahmad dan Nasai). Maksudnya, setiap jual beli perlu dilakukan dengan akad berbeza. Harga untuk setiap akad jual beli mesti jelas dan diketahui kedua-dua pihak.  

Ketika membuat iklan atau menyatakan kepada pembeli mengenai barang yang hendak dijual mesti tepat tentang barang itu, terutama tentang keadaan, fungsi atau kebaikan barang ingin dijual. Hadis Rasulullah SAW melarang memuji yang berlebihan terhadap barang dagangan agar pembeli tertipu. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Setiap barang hendaklah segera dijual jika ada pembelinya.  Ditengah menyimpan barang dengan tujuan untuk mendapat keuntungan lebih jika dijual pada masa hadapan. Islam mementingkan agar keperluan semasa orang ramai diutamakan dengan menjual apa yang diingini atau diperlukan oleh pengguna.

Hadis diriwayat oleh Ahmad bermaksud: “Barang siapa yang menimbun barang keperluan makanan selama 40 hari, ia sungguh telah lepas dari Allah dan Allah telah berlepas darinya." Manakala dalam hadis lain  Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan menimbun kecuali orang yang salah." (Hadis riwayat Muslim)

Jadikan bidang pertanian satu lambang kejayaan dan ketakwaan.  Melakukan sesuatu dengan niat kebaikan dan kerana Allah, mereka itulah beroleh kejayaan di dunia dan akhirat. 

Rezeki tidak datang bergolek melainkan diusahakan.  Taburlah bijih benih dan dijaga dengan sempurna, maka kemudian itu berserahlah kepada Allah menumbuhkan rezeki untuk hamba-Nya yang sentiasa berusaha.  

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiada seorang lelaki menanam sesuatu tanaman, melainkan Allah menetapkan baginya ganjaran sebanyak jumlah buah yang dihasilkan oleh tanaman berkenaan." (Hadis riwayat Ahmad)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Carilah rezeki dari khazanah bumi." (Hadis riwayat Tabrani).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menjayakan tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa (yakni tanah kerajaan), maka dia lebih berhak terhadapnya." (Hadis riwayat Ahmad, Malik dan Bukhari)

Sebagaimana firman Allah dalam surah Abasa ayat 27 – 32 yang bermaksud: “Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian (27) Dan buah anggur serta sayur-sayuran (28) Dan zaitun serta pohon-pohon kurma (29) Dan taman-taman yang menghijau subur (30) Dan berbagai-bagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput. (31) Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternakan kamu (32).”

No comments:

Post a Comment