Sunday 10 June 2018

BOLEHKAH KAFIRKAN ORANG LAIN


Perbuatan takfir atau menghukum orang lain sebagai kafir berlaku dalam masyarakat Islam apabila wujud perbezaan pendapat berkaitan hukum dan amalan. Pihak yang beranggapan mereka berada di pihak benar akan mengkafirkan individu atau pihak lain.
 

Takfir membawa maksud saling kafir- mengkafirkan kepada antara satu sama lain. Untuk mengelak gejala takfir, ahli Sunnah Wal Jamaah berpegang kepada asas iaitu orang yang melakukan dosa besar tidak terkeluar daripada Islam selagi mana tidak terbatal perkara-perkara berkaitan dengan Rukun Iman, syahadah dan sebagainya.

Sebab itu ahli Sunnah Wal Jamaah mengatakan bahawa orang yang melakukan dosa besar ini adalah mukmin yang melakukan maksiat. Dan dia masih beragama Islam dan beriman. Ini pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan juga pegangan 99 peratus umat Islam daripada dulu hingga sekarang.

Budaya takfir (kafir mengkafir) adalah sesuatu yang membawa akibat yang amat buruk terhadap kesatuan umat Islam. Ianya menimbulkan perpecahan, fitnah dan musibah yang dahsyat sehingga boleh terjadinya pertumpahan darah antara sesama muslim.

Di samping itu di sisi syariat Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan. Isterinya tidak dihalalkan lagi bagi dirinya (yang telah kafir), diharamkan untuk isterinya berada di sampingnya dan anak-anaknya berada di bawah penjagaannya.

Bagi yang telah dituduh kafir, maka seharusnya dia dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukum murtad ke atasnya setelah diajukan hujjah dan bukti keterangan akan kekafirannya.

Bagi mereka yang telah jatuh kafir, apabila mereka meninggal dunia maka tidak berlaku lagi hukum-hukum yang diwajibkan ke atas seorang muslim seperti dimandikan jenazahnya, disembahyangkan jenazahnya, mayatnya tidak boleh dikuburkan di kawasan perkuburan Islam dan hartanya tidat dapat diwarisi oleh ahli keluarganya.

Sesiapa yang telah kafir maka dia layak untuk mendapat laknat Allah SWT dan kekal selama-lamanya di dalam neraka jahannam.

Memandangkan betapa beratnya implikasi mengkafirkan seorang muslim yang lain, Islam melarang keras budaya takfir.

Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim." (Surah al-Hujrat, ayat 11) 

Apakah ada kata-kata cemuhan dan ejekan yang lebih buruk selain dari menggelarkan seseorang itu dengan panggilan kafir? Maka amalan pengkafiran bukan sahaja dilarang oleh syariat tapi ianya juga adalah satu tindakan yang amat zalim.

Sesungguhnya semua umat Islam itu bersaudara dan tidak selayaknya bagi kita terjebak dalam perbuatan kafir-mengkafirkan terhadap saudara kita yang lain.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Seorang muslim adalah saudara bagi Musim yang lain, tidak boleh dia menzaliminya dan menjerumuskannya ke dalam kebinasaan." (Hadis riwayat Bukhari)

Kezaliman yang paling melampau dan kebinasaan yang paling meranapkan adalah tatkala seorang Musim mengkafirkan saudaranya yang lain. Demi mengawal tindak tanduk seorang muslim dari bermudah-mudahan dalam mengkafirkan saudaranya yang lain, 

Rasulullah SAW telah bersabda: "Tidak boleh seseorang menuduh orang lain dengan kefasikan dan tidak pula dia menuduhnya dengan kekafiran, melainkan hal ini akan kembali kepadanya jika orang yang tertuduh tidak demikian. (Hadis riwayat Bukhari)

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Apabila seseorang mengatakan kepada saudaranya, “Wahai Kafir!”, maka hal ini akan kembali kepada salah seorang daripada kedua-duanya. (Hadis riwayat Bukhari)

Dengan ini dapat kita fahami bahawa menuduh seorang muslim yang lain sebagai kafir mendatangkan risiko yang amat merbahaya iaitu boleh menyebabkan si penuduh jatuh kafir apabila yang tertuduh bebas daripada tuduhan tersebut. Oleh itu ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah amat berwaspada serta tidak terburu-buru dalam isu pengkafiran.

Imam al-Ghazali telah berkata dalam kitabnya al-Iqtishad fi al-Itiqad: "Sesuatu yang patut kita berhati-hati adalah masalah pengkafiran, selagi mana ada jalan untuk berhati-hati. Ini kerana menghalalkan darah dan harta orang yang sembahyang menghadap kiblat dan yang mengikrarkan kalimat “Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah” adalah suatu kesalahan dan kesalahan membiarkan seribu orang kafir hidup adalah lebih ringan daripada kesalahan kerana menumpahkan darah seorang muslim.

Mengkafirkan seorang muslim yang lain diumpamakan dengan membunuhnya.  Ini sebagaimana dikatakan oleh al-Alla bin Ziyad, seorang tabiin: “Tidak ada bezanya antara kamu mengkafirkan seorang muslim dengan membunuhnya.

Oleh itu ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah sentiasa berhati-hati dalam menjatuhkan hukuman kafir terhadap muslim yang lain. Persyaratan yang amat ketat telah digariskan sebagai langkah untuk mengelakkan amalan pengkafiran berlaku secara berleluasa tanpa kawalan. 

Berkata Imam Abu Hanifah dalam kitabnya Fiqh al-Akbar: "Kita tidak boleh mengkafirkan seorang muslim dengan setiap dosa, meskipun dosa besar. Kecuali ada unsur menganggap halal maksiat itu. Kita juga tidak menghilangkan akar iman darinya, dia masih disebut orang beriman secara hakiki atau seorang mukmin yang fasik (tetapi) tidak kafir.

Menurut Imam Abu Jaafar al-Thahawi: "Kita tidak mengkafirkan seorangpun ahlul kiblat kerana dosa-dosa yang dilakukan, selama dia tidak menghalalkan perbuatan dosa tersebut.”

Syaikh Abdul Aziz bin Baaz melanjutkan: "Maksud beliau (yakni Imam Abu Jaafar al-Thahawi), sesungguhnya Ahlus Sunnnah Wal Jamaah tidak mengkafirkan seorang Muslim yang bertauhid, beriman kepada Allah dan hari akhir. Mereka tidak dikafirkan kerana perbuatan yang mereka lakukan, iaitu dosa seperti zina, minum khamar (arak), riba’, derhaka kepada orang tua dan sejenisnya, selama pembuatnya tidak menganggap halal perbuatannya.

Namun apabila pembuatnya menganggap halal perbuatannya, maka mereka termasuk kafir kerana statusnya telah mendustakan Allah dan Rasul-Nya serta keluar dari agama. 

Apabila mereka tidak menganggap halal perbuatan dosanya, maka mereka tidak dikafirkan menurut fahaman Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Mereka dianggap seorang mukmin yang lemah imannya."

Janganlah mudah mengkafirkan orang lain disebabkan kita tidak sealiran pendapat dan kefahaman terhadap sesuatu perkara. Adalah ditakuti nanti apa yang kita pegang itulah sebenarnya salah dan pihak yang dikatakan salah itu adalah benar. Perbanyakkan amalan muhasabah dari sebelum menghukum pihak lain bersalah.

No comments:

Post a Comment